KIRA-KIRA 80 peratus daripada populasi rakyat Malaysia sudah disasarkan untuk mendapatkan suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. Kerajaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memasang hasrat tinggi itu... Klik di sini untuk terus membaca

KIRA-KIRA 80 peratus daripada populasi rakyat Malaysia sudah disasarkan untuk mendapatkan suntikan vaksin melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Kerajaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memasang hasrat tinggi itu sebagai langkah primer dalam usaha membendung dan mencegah krisis pandemik Covid-19 di negara ini.

Sejak lebih setahun, rakyat Malaysia terpaksa mengharungi perubahan demi perubahan dari segi pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kelangsungan hidup, ekonomi dan politik gara-gara Covid-19.

Akhirnya, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan pemberian suntikan vaksin menjadi salah satu solusi muktamad bagi menyelamatkan nyawa serta kehidu-pan rakyat Malaysia.

Menurut kolum lidah pengarang akhbar harian, Malaysia Nanban, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang telah diangkat sebagai antara solusi terpenting, diikuti pemberian suntikan vaksin percuma untuk kepentingan bersama demi kesejahteraan rakyat, janganlah ia dijadikan sebagai bahan komersial.

Malaysia Nanban berkata, inisiatif pihak kerajaan memberikan suntikan vaksin Covid-19 percuma kepada rakyat perlu mencapai misi utamanya.

Pihak kerajaan perlu memastikan tiada anasir kurang bertanggungjawab memperjudikan hasrat murni itu dan membawa unsur-unsur komersial bagi mengaut keuntungan lumayan.

Setakat ini, lebih 500,000 individu telah pun menerima suntikan vaksin secara percuma di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Fasa kedua program imunisasi kebangsaan yang dijadualkan bermula 17 April ini sehingga Ogos depan akan melibatkan golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan individu berpenyakit kronik. Fasa ketiga pada bulan Mei depan sehingga Februari 2022 melibatkan golongan belia.

Seliaan

Akhbar harian itu menjelaskan bahawa sebelum ini pihak kerajaan telah mengumumkan program imunisasi kebangsaan fasa pertama, kedua dan ketiga diadakan di bawah seliaan hospital-hospital dan klinik kerajaan.

Bagaimanapun, baru-baru ini KKM berhasrat mempelawa dan membenarkan hospital-hospital swasta turut serta dalam program imunisasi kebangsaan dan memberi suntikan vaksin kepada rakyat Malaysia.

Penglibatan hospital swasta tempatan dalam program imunisasi kebangsaan amat dialu-alukan kerana ia dapat mempercepatkan prosedur pemberian suntikan vaksin.

Usaha hospital swasta dalam menjayakan program imunisasi kebangsaan patut menerima pujian daripada orang ramai kerana segala perbelanjaan untuk mendapatkan suntikan vaksin akan ditanggung oleh pihak pengurusan hospital swasta berkenaan.

Namun, pihak kerajaan dan KKM perlu memantau perkhidmatan yang bakal diberikan oleh pihak hospital swasta supaya ia tidak bercanggah dengan misi asal kerajaan dalam merealisasikan program imunisasi kebangsaan tersebut.

Pihak kerajaan dan KKM juga perlu memastikan hospital-hospital swasta tidak mengenakan sebarang bayaran kepada orang ramai dalam mendapatkan suntikan vaksin tersebut.

Sebaliknya, pihak hospital swasta mesti mengotakan janji dengan menawarkan perkhidmatan suntikan vaksin secara percuma dan mengelak unsur-unsur komersial tidak mempengaruh program kebangsaan berkenaan.

Dengan itu, kerajaan juga dapat mengekang perancangan dan niat buruk pihak yang ingin mengaut keuntungan melalui projek bersifat masyarakat itu.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan perkhidmatan suntikan vaksin secara percuma diperkenalkan untuk kebaikan bersama rakyat jelata, jadi usah cuba menyelitkan unsur komersial, sebaliknya bantulah usaha itu berjalan lancar bagi memastikan Malaysia bebas Covid-19.

* Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor

Klik di sini untuk terus membaca