PEMBANGUNAN bandar adalah punca utama pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang menyumbang masalah perubahan iklim global. Didorong peningkatan penduduk, keadaan ini bertambah buruk melainkan langkah berkesan diambil untuk melaksanakan... Klik di sini untuk terus membaca

PEMBANGUNAN bandar adalah punca utama pelepasan gas rumah hijau (GHG) yang menyumbang masalah perubahan iklim global.

Didorong peningkatan penduduk, keadaan ini bertambah buruk melainkan langkah berkesan diambil untuk melaksanakan pembangunan hijau dan lestari.

Justeru, hasrat menjadikan Malaysia sebagai negara rendah karbon merupakan salah satu daripada tujuh keutamaan kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dengan menyasarkan kewujudan 200 zon rendah karbon di seluruh negara menjelang 2030.

Bandar rendah karbon adalah bandar yang mana masyarakatnya menggunakan teknologi hijau dan mengeluarkan karbon rendah untuk mengelakkan kesan ke atas perubahan iklim melalui penggunaan sumber efisien dan mengurangkan pembaziran.

Bagi Malaysia, salah satu penggerak penting untuk mengurangkan pelepasan karbon adalah dengan menerima pakai Perjanjian Paris mengenai perubahan iklim pada 2015.

Dengan campuran penjanaan tenaga 22.1 peratus daripada sumber tenaga boleh diperbaharui dan persetujuan untuk mengurangkan intensiti pelepasan GHG sebanyak 45 peratus daripada KDNK menjelang 2030 berbanding tahap intensiti pada 2005, Malaysia bersedia menjadi contoh terbaik ke arah usaha-usaha ini.

Komitmen kerajaan dibuktikan antaranya dengan pelancaran Pelan Induk Teknologi Hijau (GTMP) pada 2017.

Merintis usaha itu pada 2011, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air memperkenalkan sistem berasaskan prestasi yang dikenali sebagai Rangka Kerja Bandar Raya Karbon Rendah (LCCF) sebagai panduan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju dalam membuat keputusan berhubung solusi lebih hijau.

Menerusi program Bandar Rendah Karbon, jumlah keseluruhan pengurangan karbon di seluruh negara yang direkodkan dari 2011 hingga 2020 adalah 148,572.20 tan karbon setara (CO2e).

Terkini, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengumumkan Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon (GeRAK) bernilai RM35 juta bagi memperkasa inisiatif bandar rendah karbon berimpak tinggi dalam usaha menggesa agar lebih banyak PBT turut serta dalam usaha negara bagi mewujudkan lebih banyak bandar rendah karbon.

Peranan PBT

PBT yang melaksanakan program LCCF serta Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030 melalui komitmen penyediaan polisi, kolaboratif serta pelaksanaan inisiatif rendah karbon adalah dipertimbang menerima geran ini.

Kerajaan dengan kerjasama PBT memacu beberapa bandar raya di Malaysia untuk meletakkan wawasan rendah karbon dan membangunkan pelan tindakan rendah karbon.

Sehingga 2020, 52 daripada 154 PBT telah memulakan inisiatif Program Kerangka Bandar Raya Rendah Karbon dengan 19 daripadanya telah membangunkan asas dan pelan tindakan karbon rendah manakala lima PBT lagi mula mencapai pengurangan pelepasan karbon.

Salah satu perintis perbandaran hijau yang utama ialah pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Putrajaya menjadi peneraju kepada bandar berkarbon rendah lestari dengan matlamat mengurangkan intensiti pelepasan GHG sebanyak 60 peratus menjelang 2025 dan mengurangkan haba dalam bandar sebanyak dua darjah Celsius.

Ternyata perubahan iklim dan pemanasan global telah meninggalkan impak besar, maka langkah berkesan perlu segera diambil untuk memperlahankan permasalahan ini dan mengurangkan kesan dibawa.

Ternyata bandar rendah karbon membawa banyak kesan positif terutama dalam mengurangkan kesan perubahan iklim global dan jejak karbon.

Justeru, peranan aktif PBT dalam merealisasikan kewujudan bandar rendah karbon di seluruh negara dituntut ke arah Malaysia lebih ‘hijau᾿ dan lestari.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca