HARI ini sudah 11 hari umat Islam berpuasa pada bulan Ramadan dalam suasana kes jangkitan Covid-19 sekejap naik, sekejap turun. Kluster baharu pun nampaknya makin bertambah.
Tahun lalu, kita berpuasa tanpa kemeriahan bazar Ramadan. Peniaga tidak dibenarkan berniaga akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan ramai antara mereka hilang punca pendapatan. Tahun ini nampaknya ada sedikit sinar menanti.
Di kawasan rumah Merak Jalanan di Hulu Klang, memang ada bazar Ramadan tetapi Merak Jalanan jaranglah singgah. Bukan apa, akhirnya nanti Merak Jalanan akan pulang tangan kosong sahaja sebab tak tahu nak beli apa. Dosa pula yang bertambah kerana asyik merungut itu dan ini.
Selain bazar Ramadan, ada juga peniaga yang mengambil peluang berniaga di tepi-tepi jalan. Memang nampak meriah dan banyak pilihan.
Namun, Merak Jalanan perhatikan berniaga di tepi jalan pun ada cabaran tersendiri berbanding di bazar Ramadan. Paling utama adalah untuk memastikan keselamatan pelanggan, trafik dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Jalan sesak kadangkala menimbulkan kemarahan pengguna yang lain. Nak pastikan pelanggan tak berlaga bahu juga agak sukar kerana masing-masing teruja mahu memilih pelbagai juadah.
Apa pun pandanglah dari sudut positif. Inilah masanya kita dapat membantu peniaga terkesan akibat Covid-19 untuk bangkit meraih kembali pendapatan terutama sepanjang Ramadan.
Yang penting adalah kawalan kendiri ketika berurus niaga bagi mengelak terjadi sebarang kluster. Ekonomi dan kesihatan perlu berjalan seiring.
Kita tak boleh biarkan Covid-19 melumpuhkan ekonomi tetapi pada masa sama, aspek kesihatan perlulah dijaga. Semua pihak harus bertanggungjawab sepenuhnya kerana peperangan melawan Covid-19 belum berakhir.
Klik di sini untuk terus membaca