SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) digesa mewujudkan segera pusat mata wang digital (CBDC) bagi mengelakkan manipulasi dan kegiatan skim penipuan berasaskan kripto terus berleluasa. Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA),... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) digesa mewujudkan segera pusat mata wang digital (CBDC) bagi mengelakkan manipulasi dan kegiatan skim penipuan berasaskan kripto terus berleluasa.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, perkara tersebut perlu dilaksanakan segera supaya pengguna di Malaysia yang memiliki aset kripto daripada pelbagai sumber yang sah dapat menukarkan asetnya kepada satu nilai yang lebih stabil di samping dikawal selia oleh pihak berkuasa.

Menurutnya, melalui kaedah tersebut, sebarang bentuk aktiviti penipuan yang menggunakan mata wang kripto lebih mudah untuk dikesan.

"MCCA berpandangan kepantasan teknologi berkaitan mata wang ini adalah amat pesat. Negara kita agak jauh ketinggalan terutamanya dalam pembangunan polisi dan dasar mengenai mata wang digital.

"Kita tidak boleh menghentikan gerakan dan aktiviti skim penipuan yang melibatkan kripto itu memandangkan ia berada di ruang siber dan sukar untuk dikawal,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Bank Negara diminta melaksanakan segera polisi berkaitan mata wang digital.

Siraj berkata, BNM baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan berkaitan cadangan untuk mewujudkan CBDC di Malaysia bagi menerbitkan satu nilai mata wang digital kripto yang mewakili duit ringgit.

"Mereka masih mengkaji dan belum ada keputusan untuk laksana. Bank Negara kena percepatkan kerana CBDC ini penting,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga perlu mengambil berat elemen ekonomi digital dengan lebih drastik dan terbuka.

"Ekonomi ini sebenarnya membuka pintu kita seluas-luasnya kepada dunia, itu antara asas kepada pendigitalan. Ambil peluang sebaik mungkin yang boleh menguntungkan negara,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca