SHAH ALAM - Kerajaan tidak sepatutnya menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.
Pakar ekonomi, Dr Muhammed Abdul Khalid berkata, dana berkenaan yang ditubuhkan pada tahun 1988 adalah untuk digunakan oleh generasi akan datang apabila sumber minyak dan gas negara berkurangan.
"Ini duit generasi akan datang, mengapa wang milik mereka diambil dengan begitu mudah sekali? Ini amat tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Pada Rabu, media melaporkan bahawa kerajaan telah meluluskan undang-undang menggunakan dana KWAN untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.
Ia dilakukan melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 pada Khamis.
Menurut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.
Muhammed menambah, sekiranya matlamat kerajaan adalah untuk membeli vaksin, terdapat banyak lagi sumber lain yang boleh digunakan.
"Tetapi mengambil hak kanak-kanak dan generasi akan datang bukan jawapannya. Kerajaan boleh dengan mudah mengenakan cukai durian runtuh ke atas syarikat sarung tangan.
"Malah pada hari yang sama ordinan ini dilaksanakan, kerajaan telah meminjam AS$1.3 bilion daripada pasaran kewangan. Kenapa perlu sentuh dana KWAN?"Persoalannya, mengapa kerajaan menggunakan wang KWAN yang berjumlah lebih kurang RM18 bilion untuk membeli vaksin apabila peruntukan hampir RM5 bilion telah diumumkan untuk tujuan yang sama,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: KWAN tidak boleh digelar dana petroleum: Najib
Menurutnya, orang ramai berhak mengetahui mengapa kerajaan memerlukan lebih banyak wang untuk vaksin dan berapa banyak yang akan diambil daripada KWAN."Kita harus ingat, ini wang tabung anak-anak Malaysia.
"Ia tidak pernah digunakan walaupun ketika negara mengalami krisis kewangan Asia 1998 dan krisis kewangan dunia pada tahun 2008. Kerajaan ketika itu langsung tidak menyentuh dana KWAN.
"Perkara ini harus dihentikan, dan penggunaan dana KWAN hanya boleh diluluskan melalui proses Parlimen,” tegasnya.Seorang lagi pakar ekonomi, Dr Nungsari Ahmad Radhi turut menegaskan bahawa kerajaan tidak sepatutnya mengusik dana KWAN.
"Ia dibentuk untuk generasi akan datang yang belum lahir. Sejak tahun 1988 sampai sekarang, baru 32 tahun,” katanya.
Tegas beliau, sekiranya wang tidak mencukupi, kerajaan boleh mengenai cukai durian runtuh ke atas syarikat yang mengaut keuntungan disebabkan Covid-19."Kalau tak cukup, pergi Parlimen usulkan bajet tambahan. Kalau kena pinjam, pinjamlah,” tegasnya.
Klik di sini untuk terus membaca