NEW DELHI - Sistem penjagaan kesihatan dan perkhidmatan penting lain di India dilaporkan semakin teruk akibat ‘tsunami’ kedua Covid-19 yang melanda negara itu sejak pertengahan Mac lalu. Ketika ini, kapasiti tanah perkuburan dan... Klik di sini untuk terus membaca

NEW DELHI - Sistem penjagaan kesihatan dan perkhidmatan penting lain di India dilaporkan semakin teruk akibat ‘tsunami’ kedua Covid-19 yang melanda negara itu sejak pertengahan Mac lalu.

Ketika ini, kapasiti tanah perkuburan dan krematorium semakin terhad, manakala infrastruktur hospital tidak lagi dapat menampung kebanjiran pesakit.

Kekurangan bekalan oksigen semakin meruncing. Keluarga yang terdesak pula terpaksa merayu bantuan ubat-ubatan dan katil kosong di hospital menerusi media sosial.

Mereka mencuba pelbagai usaha bagi meraih bantuan untuk melindungi orang tersayang.

Lonjakan kes jangkitan luar biasa di negara yang mempunyai 1.3 bilion penduduk itu didakwa berpunca daripada varian baharu.

Notis di pusat vaksinasi di Mumbai memaparkan pengumuman bekalan vaksin Covishield dan AstraZeneca telah kehabisan stok.

Malah pemerintah juga dikatakan membiarkan acara awam yang berisiko membabitkan super spreader terus diadakan sehingga menyaksikan lebih empat juta kes jangkitan direkodkan pada bulan ini.

India kini berada di tangga kedua negara paling terjejas akibat pandemik Covid-19 di belakang Amerika Syarikat.

Setelah gelombang pertama berakhir pada musim sejuk lalu, pemerintah dan orang ramai mula mengabaikan peraturan kesihatan Covid-19.

Beberapa minggu sebelum kes jangkitan meningkat semula pada awal Mac, menteri kesihatan persekutuan dengan yakin mengisytiharkan kononnya wabak itu sudah reda berikutan penurunan kes jangkitan.

Pemerintah juga membenarkan kebanyakan aktiviti kembali seperti biasa termasuk majlis perkahwinan yang sedikit sebanyak menyumbang kepada kenaikan kes jangkitan di bawah gelombang kedua pandemik tersebut.

Sebagai contoh, salah satu festival keagamaan terbesar di dunia, Kumbh Mela tetap diadakan antara Januari dan April dengan disertai kira-kira 25 juta penganut Hindu yang kebanyakannya tidak melaksanakan penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup muka.

Selain itu, pilihan raya di beberapa negeri juga menyaksikan perhimpunan mega berlangsung tanpa menghiraukan ancaman pandemik itu yang masih tinggi.

Anggota polis membawa patung sebagai simbol Covid-19 ketika kempen kesedaran di laluan utama di Chennai.

Malah, Perdana Menteri, Narenda Modi turut dikecam banyak pihak kerana terus berkempen tanpa mempedulikan bahaya wabak.

Awal minggu lalu, Modi menyifatkan negara itu sedang berdepan ‘pertempuran sangat besar’ untuk memerangi Covid-19.

Beliau lantas meminta negeri yang terjejas teruk melaksanakan semula lockdown sebagai pilihan terakhir selepas kes jangkitan kini mencecah lebih 300,000 kes sehari.Sejak pertengahan bulan lalu, kebanyakan negeri di India mula mengetatkan sekatan pergerakan dan langkah lockdown dikuatkuasakan di ibu negara sebagai usaha mengekang penularan wabak tersebut.

Klik di sini untuk terus membaca