BEKAS jaguh badminton negara, Roslin Hashim menyuarakan kebimbangannya berikutan peningkatan kadar kes Covid-19 melibatkan pemain negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur. Menurut Roslin, situasi itu akan... Klik di sini untuk terus membaca

BEKAS jaguh badminton negara, Roslin Hashim menyuarakan kebimbangannya berikutan peningkatan kadar kes Covid-19 melibatkan pemain negara di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Menurut Roslin, situasi itu akan menjejaskan persiapan skuad negara bagi menghadapi kejohanan yang menawarkan mata kelayakan Olimpik Tokyo 2020 - Terbuka Malaysia dan Terbuka Singapura.

"Kebiasaannya pemain-pemain yang akan beraksi dalam sesuatu kejohanan memerlukan tempoh sebulan lebih untuk melakukan persiapan rapi baik dari segi fizikal mahupun mental sebelum turun ke gelanggang.

"Jadi takkan dua minggu tournament hendak bermula, baru mereka hendak kembali berlatih? Kita kena ingat jika pemain-pemain menjalani kuarantin lebih lama, mereka akan 'lemau' dan memerlukan tempoh masa untuk kembali ke tahap kecergasan asal.

"Pemain yang positif (Covid-19) sememangnya terpaksa menjalani beberapa proses lain, tetapi yang terjejas teruk sebenarnya pemain yang tidak kena jangkitan kerana tidak dapat menjalani latihan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Lapan lagi pemain badminton positif di ABM

Terdahulu, seramai lapan lagi pemain negara diuji positif Covid-19 pada Selasa lalu, sekali gus menjadikan jumlah yang terlibat kini meningkat kepada 14 kes secara keseluruhannya.

Pada masa sama, Roslin berkata, tempoh sesi latihan skuad negara akan ditangguhkan lebih lama sekiranya terdapat peningkatan kes membabitkan pemain-pemain di ABM.

"Sekiranya bertambah kes, lagilah tidak boleh buat sesi latihan dan lagilah lama mereka terpaksa dikuarantin. Jadi saya amat berharap BAM akan mengambil langkah proaktif dalam mengatasi perkara ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Roslin percaya pemain-pemain yang yang positif Covid-19 mampu kembali pulih seperti biasa sekiranya mereka mengikuti saranan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

"Jangan terlalu fikir sebab nanti boleh jadi stress. Mental kena kuat kerana benda ini (pandemik Covid-19) kita tak nampak, jadi tak boleh nak elak. Yang penting patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

"Kita pun tak mahu perkara ini berpanjangan kerana kesannya melibatkan keseluruhan pemain. Jadi saya doakan mereka pulih segera dan sesi latihan dapat kembali berjalan seperti biasa,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca