PARA majikan di Amerika Syarikat (AS) menghadapi cabaran baharu ketika berjuta-juta penduduk di AS masih lagi menganggur akibat pandemik Covid-19.
Buat masa ini, sebahagian penganggur enggan memasuki semula pasaran pekerjaan disebabkan timbulnya perasaan bimbang bahawa mereka juga kemungkinan akan dijangkiti Covid-19.
Terdapat juga penganggur yang enggan bekerja semula kerana berdepan dengan kesukaran untuk mencari pusat jagaan untuk anak-anak mereka apabila mereka sudah bekerja semula.
Apatah lagi, golongan tersebut turut memperoleh bantuan kewangan daripada kerajaan kerana menganggur semasa pandemik tersebut masih melanda negara itu.
Bagaimanapun, ekonomi AS mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan daripada Covid-19 ekoran program pemberian vaksin secara percuma untuk lebih 300 juta penduduknya sedang dilakukan oleh kerajaan.
Program pemberian vaksin Covid-19 secara berperingkat-peringkat itu menyebabkan sektor perniagaan kembali bertapak dan syarikat-syarikat mula untuk mengambil pekerja-pekerja baharu bagi memenuhi permintaan di pasaran.
Namun, tidak semua penganggur kembali untuk bekerja semula selepas diberhentikan sebelum ini ekoran Covid-19 di AS.
Pandemik itu juga telah menyebabkan AS kehilangan 22 juta pekerjaan di negara ekonomi terbesar dunia itu tetapi lebih 14 juta pekerjaan berjaya diwujudkan semula di AS.
Namun, hampir 17 juta orang yang tidak bekerja masih menerima bantuan untuk golongan penganggur termasuk para pekerja yang bekerja sendiri.
Kebanyakan daripada mereka hanya bekerja secara sambilan setelah gagal untuk memperoleh pekerjaan sepenuh masa.
Menurut Gregory Daco yang merupakan Ketua Ekonomi AS di Firma Oxford Economics iaitu firma yang membuat analisis kuantitatif kepada pelanggan-pelanggannya berkata, kekurangan pekerjaan di Amerika adalah melibatkan pelbagai sektor ketika ini.
Beliau berkata, kekurangan pekerja itu berlaku di sektor yang sebelum ini terjejas dengan pemberhentian tenaga kerja secara beramai-ramai seperti peruncitan, makanan, hospitaliti dan hiburan.
Satu kajian yang dilakukan oleh sebuah bank Rizab Persekutuan AS di bandar raya Richmond mendapati sebuah hotel mampu menggaji pekerja-pekerja di kaunter depan tetapi gagal untuk mengisi kekosongan untuk jawatan-jawatan pembersihan.
Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan para penganggur masih tidak bekerja antaranya ialah bantuan kewangan daripada kerajaan yang memberikan bayaran tambahan sebanyak AS$300 (RM1,233) setiap minggu sehingga 6 September depan kepada mereka.
Menurut laporan Bank Rizab Persekutuan Chicago, penduduk AS turut berdepan dengan kesukaran untuk mendapatkan pengangkutan awam dan mencari pusat penjagaan kanak-kanak untuk anak-anak jika mereka mahu bekerja semula.
Sebahagian penduduk Amerika telah bekerja dari rumah yang mana mereka dapati adalah lebih selesa untuk melakukan pekerjaan dari kediaman masing-masing kerana ia boleh dilakukan dalam suasana kehidupan berkeluarga ketika pandemik itu masih belum reda di AS.
Ia juga membolehkan mereka tidak menghabiskan terlalu banyak masa menggunakan pengangkutan awam atau menaiki kenderaan sendiri ke tempat kerja.
"Ramai orang masih tidak bersedia untuk kembali kepada pekerjaan lama yang pernah mereka lakukan," kata Julia Pollak iaitu seorang ahli ekonomi di laman sesawang mencari pekerjaan ZipRecruiter, kepada AFP.
Masalah untuk mencari pekerja-pekerja baharu juga berlaku dalam industri makanan seperti restoran-restoran.
Perniagaan restoran diharapkan akan kembali pulih semula pada musim panas selepas pandemik Covid-19 menyebabkan ia ditutup sejak Mac tahun lalu.
"Ketika cuaca kembali pulih dan lebih banyak sekatan ditarik balik, bilangan orang yang pergi ke restoran-restoran akan meningkat dan menyebabkan tenaga-tenaga kerja diperlukan," kata Hudson Riehle yang mengetuai Persatuan Restoran Kebangsaan kepada AFP.
Beliau meramalkan sebahagian restoran akan menawarkan gaji yang tinggi untuk menarik minat orang ramai bekerja semula.
Pasar raya Amazon, Costco, Target dan Walmart sebelum ini telah pun mengumumkan kenaikan gaji ketika di pandemik Covid-19 masih belum reda di AS. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca