APAKAH kelebihan orang terkenal seperti Albert Eistein, Leonardo da Vinci, Thomas Edison, penulis Hans Christian Anderson, pelakon Tom Cruise dan Orlando Bloom? Mereka penghidap disleksia
Doktor pakar dan penyelidik tidak pasti apakah punca disleksia, namun ia dipercayai akibat cara kerja otak yang berbeza daripada keadaan normal.
Ada bukti menunjukkan disleksia diwarisi. Apabila ujian imbasan dijalankan, didapati yang menghadapi disleksia bukannya mengalami kecederaan atau kerosakan bahagian otak. Cara otak beroperasi berbeza daripada yang bukan mengalami disleksia. Perbezaan disebabkan kecacatan otak yang berlaku semasa dalam kandungan mahupun kemalangan.
Disleksia adalah penurunan kemampuan otak untuk menterjemahkan gambar bertulis yang diterima daripada mata menjadi pemikiran yang bermakna sebagai kecacatan tersembunyi.
Dari segi penampilan kelihatan normal tetapi menghadapi kesukaran membaca, menulis dan matematik. Namun, kecerdasan tidak terjejas, malah mungkin berada dalam jajaran unggul atau berbakat.
Di Malaysia, kira-kira 500,000 kanak-kanak menderita disleksia pada 2020 dan mungkin angkanya meningkat.
Disleksia boleh dikaitkan dengan keadaan lain seperti Attention Deficit Hyperactivity Disorder (ADHD) dan autisme kerana kadang-kadang kanak-kanak mungkin mempunyai keadaan itu, selain disleksia.
Diagnosis disleksia sangat penting. Ia berlaku terutama disebabkan kanak-kanak disleksia sering salah didiagnosis kerana beberapa keadaan lain boleh berlaku dengan tanda dan gejala serupa.
Perkara terbaik yang perlu dilakukan apabila anak anda mengalami tanda-tanda dan gejala disleksia adalah dengan mendekati profesional kesihatan untuk mengesahkannya.
Semakin awal diagnosis disleksia dibuat adalah lebih baik kerana ia dapat segera ditangani. Rawatan terbaik untuk disleksia adalah menggunakan kaedah pengajaran yang tepat bagi membentuk asas pembelajaran terutama dalam ejaan, membaca dan pengiraan.
Setelah asas itu dibina, kebanyakan kanak-kanak disleksia dapat menjalani kehidupan normal.
Teknik pengajaran khusus telah terbukti memberikan hasil positif bagi membantu kanak-kanak disleksia belajar. Salah satu pendekatan pengajaran yang biasa digunakan adalah pendekatan multisensori iaitu anak diajar menggunakan lebih daripada satu pancaindera.
Sebagai contoh, hanya membaca atau mendengar atau melakukan kerja dengan tangan mereka (berasa huruf kecil) secara berasingan mungkin tidak berkesan seperti gabungan semua.
Kanak-kanak disleksia mengalami kesukaran untuk fokus. Oleh itu, lebih berkesan mengajar mereka dengan banyak rehat berbanding mengajar secara berterusan selama berjam-jam. Semasa mengajar, selalu masukkan kaedah kreatif dan menyeronokkan seperti permainan pembelajaran.
Menggunakan penanda warna, kapur, blok dan peralatan pembelajaran yang berbeza juga dapat membantu anak belajar dengan lebih baik. Selalu berikan arahan dengan perlahan dan kuat untuk memastikan anak memahaminya. Pengulangan mungkin juga diperlukan. Contohnya, semasa mengajar, anak mengeluarkan kata-kata yang serupa, lisankan perkataan dengan jelas dan padukan bunyinya.
Pada penghujung hari, perkara penting perlu diingat semasa mengajar anak anda adalah bersabar dan mencuba kaedah pengajaran berbeza untuk mencari kaedah paling sesuai dengan anak disleksia.
* Mohd Fudzail Mohd Nor ialah seorang OKU yang pernah menjadi CEO syarikat di Dubai dan Abu Dhabi serta pernah memenangi lima Hadiah Sastera Perdana Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca