BELALANG tidak teragak-agak untuk menyatakan di sini yang gelombang keempat wabak Covid-19 akan melanda negara kita jika inilah trend kenaikan jumlah kes baharu yang kita catatkan saban hari.
Yang terbaharu pada Ahad, jumlah kes yang dilaporkan telah mencecah ke angka 2,717.
Selangor sekali lagi mencatat rekod kes tertinggi. Dan tidak juga menghairankan jika kes di Selangor terus kekal paling tinggi dalam negara.
Di India, kes harian telah mencecah sehingga 300,000 sehari – satu angka yang tidak terbayang dek fikiran kita semua.
Semalam, Belalang berpeluang menonton laporan khas berita dari India yang memaparkan suasana di luar sebuah hospital di New Delhi. Suasananya bukan sahaja kelihatan seperti di medan perang, malah tidak terkawal lagi dah.
Setiap beberapa minit, teksi tut-tut membawa mangsa ke pintu hadapan hospital tanpa henti dengan petugas hospital tak berupaya melakukan apa-apa kerana di dalam, jumlah pesakit melebihi ruang katil.
Bekalan tangki oksigen tidak mencukupi dan troli yang mengusung pesakit yang telah meninggal dunia keluar masuk ke bilik mayat bersilih ganti.
Ahli keluarga yang meraung meratapi pemergian yang tersayang tak usah cakaplah, kedengaran di setiap koridor hospital.
Wartawan penyiaran yang membuat lintas langsung itu sendiri turut kebingungan menyaksikan apa yang sedang berlaku di hadapan matanya.
Dia cuba menemuramah ahli keluarga yang membawa pesakit Covid-19 dan apa yang mampu mereka berikan hanyalah laungan dan jeritan kekecewaan.
Suasana di negara kita masih lagi terkawal tetapi barang diingat, jika kita juga alpa, suasana seperti di India boleh saja berlaku di sini bila-bila masa.
India sekarang hanya mengharapkan keajaiban untuk pulih, sedangkan kita pula mengharapkan kelonggaran diberi untuk pulang ke kampung berhari raya dengan keluarga.
Lupakanlah sahaja itu semua kerana dengan jumlah kes baharu yang tidak menampakkan sebarang petanda untuk turun, adalah lebih baik semua orang kekal berada di tempat masing-masing.
Belalang - Menunggu masa untuk terbang jauh tetapi hati tidak berani.
Klik di sini untuk terus membaca