SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) dijangka mampu memenangi majoriti dua pertiga kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya UMNO kembali bergabung dengan pakatan itu.
Ketua Pemudanya, Senator Ir Khairil Nizam Khirudin berkata, jangkaan itu berasaskan analisis dibuat pihaknya dengan kunci utama bagi mencapainya adalah mensyaratkan semua parti meletakkan ke tepi ego kepartian.
Jelas beliau, ia juga perlu dicapai dengan bantuan rakan-rakan parti politik daripada Sabah dan Sarawak (Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah).
"Sebenarnya itu yang kita mahukan. Bila PN peroleh kemenangan majoriti dua pertiga, tidak ada lagi isu berlaku ketidakstabilan kerajaan. Kerajaan akan lebih kukuh.
"Kita mahu calon diketengahkan ketiga-tiga parti adalah calon berwibawa dengan mereka tidak akan sesekali menjadi beban kepada kerajaan PN kelak,” katanya dalam wawancara eksklusif bersama Sinar Ahad.
Ketika ini, kerajaan PN ditunjangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas, UMNO, GPS, GRS, MIC, MCA dan beberapa ahli Parlimen bebas yang menyokong kerajaan dilihat tidak stabil apabila hanya memiliki sokongan 112 ahli Parlimen.
Tekanan terhadap kerajaan PN semakin memuncak apabila UMNO sudah membuat ketetapan untuk menolak kerjasama dengan Bersatu bagi menghadapi PRU15 dengan ahli-ahli Parlimen parti itu hanya menyokong kerajaan PN sehingga Parlimen terbubar.
Sehingga kini, sejumlah tiga ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) sudah menarik sokongan terhadap kerajaan PN.
Mereka ialah Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah; Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.
Jangka hayat kerajaan PN terus menjadi tanda tanya apabila mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Ahad dijangka memuktamadkan tarikh bagi parti itu menarik sepenuhnya sokongan terhadap kerajaan sedia ada sebagaimana diputuskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 hujung bulan lalu.
Ditanya sama ada PN yakin UMNO akan kembali bekerjasama dengan pakatan politik itu sebelum berlangsungnya PRU15, Khairil Nizam melahirkan keyakinan perkara itu mampu direalisasikan oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang cenderung mahukan agenda penyatuan ummah.
"Bagi saya, ia juga perlu datang dengan kejujuran dan keikhlasan. Jadi, mengenai kawan kita (UMNO) yang nak keluar dari kerajaan PN, itu saya rasa kita serahkan kepada kepimpinan mereka untuk selesaikan masalah masing-masing.
"Saya yakin rakan-rakan UMNO saya yang mahu kepada penyatuan ummah. Saya yakin pada mereka,” katanya.
Bagaimanapun, Ketua Pemuda Pas Pusat itu menolak untuk membicarakan soal calon Perdana Menteri bagi PN sekiranya ketiga-tiga parti utama Melayu itu kembali bergabung kelak.
"Tunggulah PRU15 tiba. Calon Perdana Menteri boleh dipersetujui semua pihak apabila tibanya pilihan raya.
"Kita akan membuat konsensus bersama. Itulah namanya perikatan politik. Setakat ini, tidak bincang lagi perkara itu.
"Saya dimaklumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipilih sebagai calon Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan (PH). Alhamdulillah, tunggulah pengumuman kami pula.
"Setakat hari ini, buat apa kami hendak umumkan lagi? Tunggulah pandemik Covid-19 reda, barulah kami akan umumkan,” kata beliau lagi.
Klik di sini untuk terus membaca