MAHU pinjam RM250,000 sebaliknya rugi RM32,970 akibat diperdaya sindiket pinjaman wang tidak wujud. Itu antara kandungan laporan berita di akhbar Sinar Harian pada Sabtu lalu.
Wanita berusia 32 tahun yang merupakan seorang pengurus bank itu dikatakan hanya menyedari ditipu selepas membuat enam transaksi pembayaran kepada pelbagai akaun bank berbeza kononnya untuk proses kelulusan pinjaman berkenaan.
Terdetik persoalan di hati penulis bagaimana seorang pengurus bank pun boleh kena tipu dengan sindiket pinjaman wang di alam maya yang entahkan wujud entahkan tidak sedangkan tempat kerjanya sendiri menyediakan pinjaman wang.
Sama ada ingin mendapatkan pinjaman wang dengan jumlah yang besar dengan segera atau scammer bijak mengatur bicara hingga membuatkan mangsa mudah diperdaya mungkin menjadi punca mangsa memilih jalan pintas membuat pinjaman tersebut.
Malangnya yang dikejar tak dapat yang dikendong pula berciciran!
Apa yang membimbangkan hampir setiap hari ada sahaja mangsa yang ditipu dengan scammer yang licik memerangkap mangsa.
Daripada memperkenalkan diri sebagai institusi peminjam yang menawarkan pinjaman mudah, mengaku sebagai pegawai penyiasat polis hinggalah panggilan dikatakan dibuat dari mahkamah, hampir setiap masa ada sahaja mangsa yang ditipu.
Apa yang dilihat kini, kes penipuan melibatkan scammer bukan lagi menjadi jenayah luar biasa.
Jika dulu, si penipu perlu masuk ke kampung-kampung untuk memperdaya orang kampung terutama warga emas hingga ada antara mereka yang tergadai tanah serta harta benda demi taksub kepada janji-janji si penipu.
Tapi kini, kerja si penipu lebih mudah, tanpa bersemuka pun mereka mampu memperdaya mangsa dengan hasil penipuan bukan sedikit malah ada yang mencecah jutaan ringgit. Golongan ‘berduit’
Golongan disasarkan bukan lagi orang ‘biasa-biasa’ namun golongan berpendidikan tinggi dan profesional yang pada sangkaan scammer golongan ini lebih ‘berduit’.
Ini terbukti apabila, pada 8 Januari lalu, media melaporkan seorang guru lelaki kerugian RM75,000 dipercayai ditipu sindiket yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)
Pada 11 Februari lalu, seorang pensyarah wanita kerugian RM206,470, selepas dipercayai menjadi mangsa sindiket Love Scam.
Pada 22 Mac lalu pula, seorang doktor pelatih perubatan kerugian RM287,360 dipercayai diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai LHDN.
Penulis berasa agak pelik bagaimana golongan terpelajar ini sangat mudah menjadi mangsa apatah lagi kes penipuan di alam maya kerap dilaporkan di media masa.
Sepatutnya golongan ini sudah tentunya mempunyai sumber rujukan lebih baik sebelum memindahkan wang mereka kepada mana-mana pihak sama ada untuk urusan pinjaman wang, ‘demi cinta maya’ atau jika dihubungi individu mengaku sebagai pegawai pihak berkuasa.
Sebelum ini, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendedahkan jumlah kerugian rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan meningkat ketara kepada RM914 juta setakat Jun tahun lalu.
Penipuan dalam talian yang dipromosi menerusi saluran media sosial dengan penggunaan aplikasi WhatsApp dan Facebook menjadi antara kes tertinggi dicatatkan sepanjang enam bulan pertama tahun lalu.
Bagi penulis, pihak berwajib perlu lebih melipat gandakan kempen kesedaran supaya lebih ramai tidak tertipu.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pula digesa kerap memantau dan menyekat laman sosial atau nombor telefon sindiket scammer yang tidak pernah berputus asa walau sehari pun untuk menipu pengguna.
Kepada pengguna pula, janganlah mudah percaya dengan apa yang anda lihat. Jika hendak membuat pinjaman wang tetapi anda pula yang kena keluarkan duit, fikirlah dua tiga kali logiknya sebelum kisah anda ditipu pula menjadi santapan berita di akhbar.
* Nur Farhana Abdul Manan ialah Web Editor Sinar Harian.
Klik di sini untuk terus membaca