PERTUBUHAN Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan peningkatan kes harian serentak di seluruh dunia sejak dua minggu kebelakangan ini. Trend kes harian ketika ini juga masih berada pada situasi membimbangkan, dengan jumlah kes baharu melebihi... Klik di sini untuk terus membaca

PERTUBUHAN Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan peningkatan kes harian serentak di seluruh dunia sejak dua minggu kebelakangan ini.

Trend kes harian ketika ini juga masih berada pada situasi membimbangkan, dengan jumlah kes baharu melebihi 2,000 untuk tujuh hari berturut-turut.

Berdasarkan jumlah kes semasa, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengunjurkan kes baharu berisiko mencecah sekitar 5,000 sehari menjelang hujung bulan hadapan sekiranya Kadar Kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) kebangsaan meningkat kepada 1.2.

Trend peningkatan kes Covid-19 saban hari dipercayai berpunca daripada pergerakan yang tinggi dalam kalangan rakyat termasuk penganjuran pelbagai majlis awam serta jangkitan dari institusi pendidikan seperti sekolah.

Semua perkembangan ini sememangnya mencemaskan dan menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak. Justeru, suntikan dan pengagihan vaksin di negara ini perlu disegerakan bagi menurunkan kes Covid-19 dengan pantas sekali gus memulihkan kehidupan serta ekonomi.

Di United Kingdom (UK), dengan suntikan vaksinasi Covid-19, kadar jangkitan dalam komuniti menunjukkan tren penurunan dengan hanya mencatatkan 20 kes bagi 1 juta rakyatnya manakala Rt juga rendah iaitu bawah 1.0.

Ini membuktikan bagaimana kadar vaksinasi memberi kesan kepada pengurangan jangkitan dalam komuniti. Di Malaysia, sejarah juga membuktikan yang pemberian vaksin cacar dan polio menyebabkan dua penyakit ini lenyap sejak sekian lama.

Perbekalan vaksin Covid-19 merupakan usaha besar kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat. Bagi membendung penularan kes Covid-19, langkah utama adalah memperkukuh langkah kesihatan awam serta pengagihan segera vaksin Covid-19 bagi mencapai imuniti kelompok secepat mungkin.

Kerajaan melancarkan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bertujuan mengekang Covid-19 melalui vaksin bagi melindungi seluruh rakyat daripada wabak ini.

Terima vaksin

Kerajaan menyasarkan sekurang-kurang 80 peratus (26.5 juta) penduduk dewasa menerima vaksin menjelang Februari 2022 bagi mewujudkan imuniti kelompok.

Imuniti kelompok merujuk keadaan penularan jangkitan penyakit berjangkit tidak dapat berlaku kerana sebahagian besar masyarakat mempunyai daya tahan terhadap penyebab jangkitan.

Berkaitan vaksinasi, rakyat tidak perlu bimbang mengenai tahap keberkesanan dan keselamatannya.

Ini kerana, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), yang bertanggungjawab dalam kelulusan vaksin Covid-19 di negara ini amat teliti dalam soal kualiti dan keselamatan sehingga ia disifatkan syarikat pembekal vaksin sebagai agensi paling ‘tegas’ dan ketat berbanding badan regulatori antarabangsa lain.

Program imunisasi fasa pertama melibatkan petugas barisan hadapan sektor awam dan swasta serta pertugas dalam perkhidmatan penting dan pertahanan serta keselamatan telah selesai sepenuhnya manakala fasa kedua program imunisasi yang sedang berjalan menyasarkan kumpulan warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kumpulan rentan.

Fasa ketiga pula membabitkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dengan keutamaan kepada mereka yang berada dalam zon merah.

Namun, melihat kepada perkembangan semasa, fasa ketiga perlu dipercepatkan kerana, golongan ini terlibat aktif dengan aktiviti ekonomi dan sentiasa bergerak (mobile). Lebih lambat golongan ini menerima vaksin, lebih lama masa mereka terdedah kepada risiko dijangkiti dan menyebarkan penyakit ini.

Imuniti kelompok hanya boleh tercapai jika majoriti rakyat telah diberi imunisasi.

Namun, bagi mempertingkat peratusan rakyat berdaftar kepada PICK, program kesedaran untuk melawan keraguan dan kebimbangan yang dibangkit rakyat terhadap isu vaksin ini perlu ditambahbaik terlebih dahulu.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca