MEMENUHI jemputan berbuka puasa di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor baru-baru ini menjentik kerinduan penulis kepada orang tua yang sudah tiada. Sudah lebih 10 tahun mereka ‘pergi᾿ dan tidak pernah sehari pun hati ini tidak rindu. Perasaan itu menerjah selepas berbual dengan seorang anak yatim bernama Aliah yang ditemui dalam majlis itu.
Pada usia 14 tahun, dia menjadi penghuni sebuah rumah kebajikan di Sabak Bernam bersama adik berusia 12 tahun dan kakaknya yang berumur 16 tahun sejak tahun lalu.
Ketika ditanya bagaimana dia boleh tinggal di situ, anak ketujuh daripada sembilan beradik itu menjelaskan, ia atas kerelaannya sendiri. Selepas bapa meninggal dunia akibat serangan jantung, kehidupan mereka sekeluarga berubah.
Kehilangan tempat bergantung menyukarkan lagi kehidupan. Walaupun berat, mereka bertiga terpaksa membuat keputusan sukar demi masa depan lebih cerah.
"Waktu ayah meninggal adalah hari paling sedih. Masa ayah ada, ayah selalu buat kami happy. Bawa jalan-jalan,” kata Aliah.
Kanak-kanak ini hilang tempat bermanja ketika masih kecil. Walaupun ibu dan adik-beradik ada, mereka terpaksa berjauhan demi kelangsungan hidup.
Penulis yakin ibunya pasti sedih dan sukar membuat pilihan itu namun demi keselesaan dan kehidupan lebih baik untuk tiga anaknya, perasaan itu perlu ditolak tepi. Penulis berharap tiga beradik terbabit diberi kebahagiaan dan kejayaan yang diimpikan.
Ibu dipenjara
Perhatian penulis beralih pula kepada seorang anak kecil yang dari tadi bising betul mulutnya hingga membuatkan penulis ingin mendekatinya. Pada awalnya penulis menyangka kanak-kanak lelaki itu merupakan anak kepada pengurus rumah kebajikan. Ternyata sangkaan itu meleset apabila penulis diberitahu, Adam diletakkan di bawah jagaan rumah kebajikan kerana ibunya dipenjarakan.
Wanita itu mendera anaknya yang berusia dua bulan sehingga meninggal dunia. Sayu hati penulis melihat Adam yang terpaksa menumpang kasih kepada insan lain seawal usia empat tahun kerana bapanya pula hilang entah ke mana.
Penulis kemudian didekati seorang kanak-kanak perempuan yang ayu berjubah hitam. Memperkenalkan dirinya sebagai Adele, dia tinggal di rumah kebajikan sejak dilahirkan. Usianya baru lapan tahun dan dia tidak pernah kenal ibu bapanya kerana ditinggalkan di hospital sebaik dilahirkan.
Adele merupakan seorang daripada ribuan kanak-kanak yang menjadi mangsa pengabaian ibu bapa. Setiap hari kita dapat membaca laporan mengenai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta bantuan orang ramai mengesan waris mereka. Nasib mereka amat meruntun jiwa.
Berdasarkan rekod JKM, terdapat 14 buah institusi yang menjaga kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan. Ia dikenali sebagai Rumah Kanak-Kanak (RKK) dan kesemua rumah ini adalah di bawah kendalian JKM. Sehingga 30 Mac 2021, terdapat seramai 1,026 penghuni di 14 buah rumah kanak-kanak terbabit di seluruh negara.
Kes di institusi JKM bukan hanya kemiskinan atau anak yatim tetapi lebih kepada kes mangsa penderaan, pengabaian, eksploitasi dan sebagainya seperti termaktub dalam Seksyen 17, Akta Kanak-Kanak 2001.
Aliah, Adele dan Adam merupakan sebahagian daripada insan yang terpaksa menempuh ujian berat ketika usia kecil namun mujur masih ada pihak yang sayang. Bantuan dari segala aspek disalurkan oleh kerajaan dan badan-badan korporat yang prihatin.
Mengenang nasib mereka, membuatkan penulis mensyukuri segala nikmati diperoleh kini kerana jika penulis berasa susah, ada insan yang lebih malang hidupnya.
Kalau penulis gusar tidak dapat balik kampung kerana larangan rentas negeri, ada insan yang tetap di situ kerana tiada tempat untuk dituju.
Walaupun dipisahkan oleh larangan rentas negeri, kita masih boleh berhubung dengan ahli keluarga tanpa pertemuan fizikal. Kalau ada kecemasan dan keperluan mendesak lainlah cerita, tetapi janganlah pula ambil kesempatan dan menipu demi kepentingan diri.
* Asmaliza Mansor ialah Pegawai Perhubungan Awam Rasuah Busters
Klik di sini untuk terus membaca