MERAK JALANAN sangkakan cuma jualan kereta mencanak pada musim pandemik ini, rupa-rupanya jualan mercun pun sama naik. Menurut laporan akhbar, peniaga mengaut keuntungan lebih 200 peratus gara-gara permintaan tinggi terhadap mercun dan... Klik di sini untuk terus membaca

MERAK JALANAN sangkakan cuma jualan kereta mencanak pada musim pandemik ini, rupa-rupanya jualan mercun pun sama naik.

Menurut laporan akhbar, peniaga mengaut keuntungan lebih 200 peratus gara-gara permintaan tinggi terhadap mercun dan bunga api menjelang Aidilfitri tahun ini.

Malah, mereka turut menjual barang terlarang tersebut secara terbuka di tepi jalan selain melalui online.

Nampaknya bermain mercun masih menjadi salah satu cara orang kita menyambut hari raya.

Seingat Merak Jalanan, dulu-dulu tak payah tunggu raya, masa bulan puasa lagi budak-budak sudah leka main mercun. Kalau dapat mercun padi harga 20 sen setepek pun, sudah kira barang mewah.

Kalaulah kilang mercun Bright Sparklers di Sungai Buloh, Selangor tidak meletup pada tahun 1991, mungkin tidak ramai yang ambil kisah tentang bahayanya mercun. Tragedi pada bulan Syawal yang meragut 26 nyawa itu telah membawa kepada pengharaman mercun di negara ini.

Namun, Merak Jalanan percaya mercun ada banyak permintaan. Sebab itulah kes penyeludupan terus berlaku.

Baru-baru ini, PGA Johor merampas mercun bernilai RM111,000 daripada sebuah lori di Pontian. Di Kelantan pula, pasukan PGA jumpa mercun RM26,000 yang ditinggalkan dalam kebun getah di Rantau Panjang.

Bagaimanapun, Merak Jalanan lebih bimbang dengan aktiviti menjual mercun secara online terutamanya yang dihantar menggunakan kurier.

Setahu Merak Jalanan, tiada syarikat kurier di Malaysia yang membenarkan penghantaran bahan letupan. Mercun adalah bahan mudah terbakar. Dalam lori pula bukannya sejuk, panas!

Bermain mercun asalnya bukanlah budaya orang Melayu. Hakikatnya hari raya adalah tentang fitrah dan silaturahim. Aidilfitri tidak akan hilang serinya tanpa mercun.

Klik di sini untuk terus membaca