RAMADAN penuh berkat ini wajar kita gunakan sebagai platform melaksanakan anjakan paradigma diri dengan pengisian amalan zahir dan batin yang positif serta membuang segala unsur mazmumah yang selama ini melekat dalam diri.
Mungkin sebelum ini hati dan jiwa kita penuh karat dosa dengan segala bentuk mazmumah yang keji, namun kita hanya membiarkannya.
Kita mungkin kurang cakna dengan penyakit hati, sebaliknya lebih risau dan bertindak pantas memperbaiki kualiti kesihatan fizikal sahaja. Urusan personaliti jiwa dan hati mungkin kita tidak ambil pusing langsung.
Jadi, eloklah kita memperbaiki kualiti peribadi diri, misalnya penyakit iri dan dengki. Meskipun dua jenis penyakit hati ini sangat ditegah Islam, namun ia tetap menjadi ‘teman rapat’ kepada hati kita. Ramadan wajib kita jadikan landasan terbaik untuk membuang segala ‘toksin’ penyakit hati agar amalan berpuasa tidak sia-sia.
Budaya merokok juga masih menjadi kemelut kebanyakan umat Islam. Daripada peringkat anak remaja hinggalah warga emas, budaya merokok seakan begitu menebal dan sukar dibendung. Pelbagai kempen menerangkan perihal keburukannya kepada kesihatan, namun ia bagai mencurah garam ke laut.
Berusaha menghentikan perbuatan merokok bagi sesetengah perokok tegar amatlah sukar, namun semasa bulan Ramadan, ia adalah sangat bertepatan untuk berusaha mengalihkan perbuatan negatif.
Kesungguhan dan keazaman tinggi untuk meninggalkan amalan buruk merokok mampu dilakukan seandainya timbul kesedaran secara mendalam.
Kita mampu lakukan pembaikan diri ke arah gaya hidup positif seandainya keazaman diri sudah bulat dalam jiwa. Jadikanlah Ramadan sebagai titik mula buat kita berusaha sedaya termampu untuk mematuhi nasihat ALLAH.
Transformasi diri yang seterusnya adalah dalam aspek amal ibadah. Andainya sebelum ketibaan Ramadan, kita begitu culas dan liat berkunjung ke masjid mahupun surau, maka inilah masanya kita mengubah sikap negatif itu.
Bersolat berjemaah bukan sahaja semasa solat sunat tarawih tetapi semasa solat fardu yang lain perlulah kita ikhtiarkan diri untuk hadir ke masjid.
Kesedaran
Ulama silam tersohor, Ibrahim al-Nakhaie pernah mengungkap satu peringatan buat ummah. Katanya, ‘puasa sehari dalam bulan Ramadan lebih baik daripada seribu hari. Satu ucapan tasbih di dalamnya lebih baik daripada seribu tasbih dan satu rakaat di dalamnya lebih baik daripada seribu rakaat di bulan yang lain’. Belajar dan ambillah pedoman daripada ulama silam terdahulu.
Imam al-Qysyairi ada menceritakan: "Setiap kali Ramadan tiba, Abu Bakar al-Syibli meningkatkan ketekunan ibadahnya. Hinggakan pernah Abu Bakar al-Syibli memberitahu ini adalah bulan yang diagungkan ALLAH. Maka, aku mesti menjadi orang yang paling pertama mengagungkannya.” Demikianlah pandangan Abu Bakar al-Syilbi terhadap bulan Ramadan. Bagaimanakah dengan kita selama ini?
Abdul Razzaq al-San’ani pula ada melaporkan bahawa ‘setiap kali tiba Ramadan, Sufyan al-Tahuri meninggalkan semua ibadah semata-mata untuk membaca al-Quran’.
Sebenarnya apa yang dilakukan Sufyan al-Tahuri itu juga diamalkan kebanyakan umat Islam terdahulu yang memperuntukkan banyak masa bulan Ramadan dengan mempertingkatkan amalan membaca al-Quran.
Jadi, amatlah elok kita belajar ikut jejak mereka terdahulu yang hebat lagi terbilang itu dalam usaha menjadikan Ramadan kali ini dan akan datang, insya-ALLAH dengan pengisian bermanfaat.
Kita wajib mentransformasikan diri kepada bentuk perwatakan peribadi dan gaya hidup yang selaras dengan tuntutan agama supaya kehadiran Ramadan tidak sia-sia.
Marilah kita hayati sabda Baginda SAW: "Sesiapa yang melakukan satu kebaikan padanya (maka pahalanya) seperti ia melakukan ibadah fardu. Dan sesiapa yang melaksanakan ibadah fardu, (pahalanya) seperti melakukan 70 fardu pada waktu lain.” (Hadis riwayat Ibnu Khuazaimah).
* Mohd Rizal Azman Rifin ialah Pensyarah Kanan di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Politeknik Muadzam Shah
Klik di sini untuk terus membaca