SELEPAS 33 tahun, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akhirnya kini dalam kenangan. UPSR mula dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara pada tahun 1988 dan Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Rabu... Klik di sini untuk terus membaca

SELEPAS 33 tahun, Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akhirnya kini dalam kenangan.

UPSR mula dilaksanakan dalam sistem pendidikan negara pada tahun 1988 dan Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin pada Rabu mengumumkan peperiksaan untuk pelajar sekolah rendah itu akhirnya dimansuhkan mulai tahun ini.

Tidak cukup dengan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengambil satu lagi langkah mengejutkan apabila membatalkan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun ini.

Walaupun langkah drastik terhadap dua peperiksaan besar dalam sistem pendidikan negara itu dikaitkan dengan pandemik Covid-19, keciciran pembelajaran pelajar akibat virus itu dan tekanan mental murid-murid, namun keputusan pemansuhan UPSR serta pembatalan PT3 tahun ini wajar juga dilihat dalam perspektif yang lebih luas.

Keputusan tersebut dilihat sebagai satu mesej yang jelas oleh kerajaan dalam usaha menyediakan pelajar yang bakal memenuhi jangkaan majikan pada masa depan.

Pakar pendidikan dan sosial, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, kemahiran nilai tambah seperti pemikiran kritis, interaksi sosial dan nilai sahsiah seharusnya perlu diterapkan lebih awal dalam kalangan murid berbanding kepintaran akademik semata-mata.

"Ini bukan lagi zaman untuk melahirkan ulat buku, negara luar contohnya Finland sebenarnya sudah lama memansuhkan peperiksaan sebegini yang tidak lagi relevan.

"Elemen nilai tambah yang dikehendaki majikan ini perlu dimulakan pada peringkat lebih awal, namun sayangnya selama ini ia hanya didedahkan kepada pelajar pada peringkat universiti... bagi saya itu sudah terlambat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Mohd Radzi berhubung pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3 tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: UPSR mansuh sepenuh, PT3 dibatalkan tahun ini

Mansuh UPSR: KPM perkasa Pentaksiran Bilik Darjah

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul.

Sementara PT3 yang diperkenalkan pada 2014 pula merupakan peperiksaan yang digunakan untuk menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR) sejak 1993.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar bagaimanapun berharap supaya keputusan memansuhkan UPSR dan pembatalan PT3 itu bersifat kekal bagi mengelak keciciran pelajar yang cemerlang dalam segenap aspek.

"Kita tidak akan nampak hasil dalam tempoh sekadar tiga empat tahun, saya harap keputusan itu tidak berubah.

"Kemahiran tambahan melangkaui akademik ini sememangnya perlu diseimbangkan, kalau kita lihat ketika ini ramai yang pintar akademik namun biadab di media sosial.

"Ini yang harus kita risaukan jika tidak bermula sekarang ibarat kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya,” ujar Mohammad Shatar yang juga bekas Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Dalam pada itu, pakar pendidikan dari Universiti Malaya, Profesor Emeritus Datuk Dr Isahak Haron berkata, ada baiknya format UPSR dan PT3 diubah dan bukannya dimansuhkan serta-merta.

Ini kerana menurut beliau, KPM seharusnya melaksanakan ujian penilaian berdasarkan standard pelajar, berbanding dijadikan norma rujukan berkaitan ranking termasuk komponen untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

"Apabila terhapusnya UPSR dan pembatalan PT3, kita sudah hilang satu penanda aras untuk mengenal pasti tahap standard murid.

"Sepatutnya format peperiksaan itu diubah. Mungkin lepas ini ia boleh diambil murid pada bila-bila masa, barulah kita tahu sejauh mana potensi yang boleh dicapai murid,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca