SHAH ALAM - Penerbit buku pendidikan sekolah mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum mengatur tindakan lanjut berhubung pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula tahun ini. Pengarah Urusan Kumpulan Sasbadi Holding... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penerbit buku pendidikan sekolah mengambil pendekatan tunggu dan lihat sebelum mengatur tindakan lanjut berhubung pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bermula tahun ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Sasbadi Holding Berhad, Law King Hui mengakui pihaknya agak terkejut dengan pengumuman Kementerian Pendidikan Malaysia berhubung isu tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih menunggu maklumat dan penjelasan lanjut daripada kementerian dan wakil penerbit seperti Persatuan Penerbit Buku Malaysia (Mabopa) berkenaan dengan perkara berkenaan sebelum melakukan sebarang perancangan.

"Kita ingin menunggu untuk melihat perkembangan susulan yang lebih jelas sebab apa yang diumumkan itu bagi saya belum lagi lengkap.

"Kita ingin dengar lebih banyak lagi pandangan, tindakan atau arahan susulan daripada kementerian sebelum kita memberikan respons supaya kita boleh menyusun tindakan selanjutnya,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan pemansuhan UPSR bermula pada tahun ini dan menggantikannya dengan kaedah pentaksiran murid Tahun Enam yang akan memberi tumpuan pada pemerkasaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Dalam pada itu, King Hui yang juga bekas Presiden Mabopa berkata, beliau yakin Mabopa akan memainkan peranannya untuk mendapatkan pandangan dan cadangan penerbit buku di seluruh negara berhubung perkara tersebut untuk dimajukan kepada kerajaan.

King Hui

Mengulas lanjut mengenai kesan yang akan dihadapi oleh penerbit buku akibat daripada dasar tersebut, beliau berkata, perkembangan itu pastinya akan memberikan kesan kepada penerbit buku pendidikan di Malaysia.

"Kesan pasti ada apabila sesuatu keputusan atau dasar diumumkan secara tiba-tiba, sudah pasti penerbit akan merasai impaknya tetapi tidak semestinya negatif. Positif atau negatif terpulang kepada respons yang dapat dibuat oleh pihak terlibat.

"Sebab yang dimansuhkan adalah peperiksaan UPSR dan pasti akan ada satu kaedah atau sistem lain (ganti UPSR). Jadi sukar juga untuk nak jawab positif atau negatif,” katanya.

Sementara itu, Presiden Mabopa, Arief Hakim Sani Rahmat ketika dihubungi memaklumkan bahawa pihaknya sedang dalam perbincangan bersama ahli persatuannya dan akan memberikan kenyataan dalam masa terdekat.

Klik di sini untuk terus membaca