PETALING JAYA - Pakatan Harapan (PH) sedia menjadikan agenda memperkasakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai fokus utama sekiranya koalisi politik pembangkang itu sekali lagi dipilih menjadi kerajaan.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, fungsi SPRM perlu diperkukuhkan sebagaimana dicadangkan beliau pada tahun 1997.
Lebih mengejutkan, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendedahkan tindakan itu didakwanya menjadi penyebab beliau ditekan kerajaan pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Jelas beliau, cadangan tersebut dikemukakan pada ketika itu setelah Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan mengambil kira pengalaman Hong Kong yang berjaya menubuhkan sebuah suruhanjaya pencegahan rasuah yang disegani dunia.
"Kalau kita lihat Hong Kong tahun 60-an dan 70-an merupakan daerah yang paling korup di Asia.
"Hong Kong dikawal oleh kumpulan Taipan dan gengster. Tetapi dalam tempoh 10 tahun, amalan rasuah dapat dibersihkan.
"Mesti bebas sebebas-bebasnya, lantik profesional dan beri ganjaran secukupnya, beri peruntukan yang cukup besar dan pastikan suruhanjaya itu diberi sepenuh ruang untuk bertindak,” katanya kepada Sinar Harian dalam satu wawancara eksklusif di pejabatnya di Jalan Gasing di sini baru-baru ini.
Turut hadir Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Rozaid Rahman.
Sementara itu, Anwar turut membidas pihak-pihak tertentu yang masih menganggap fungsi SPRM sebagai sudah bebas, sedangkan badan itu bertanggungjawab di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Ujarnya, usaha memperkasakan SPRM amat penting bagi menyelamatkan negara ini daripada terus terdedah dengan amalan rasuah pemimpin yang mengaut kekayaan berlebihan tanpa persoalan dan tindakan.
"Yalah...yang duduk dalam kerajaan dan pembangkang, menteri ada, bekas menteri ada, bekas Timbalan Perdana Menteri ada, bekas Perdana Menteri pun ada. Kita tahulah jawapan itu (SPRM bebas) tidak munasabah. Tidak cukup.
"Oleh kerana pemimpin lakukan rasuah tanpa persoalan dan tindakan, busuknya di kepala ikan, yang lain terus menjalar sampai ke bawah.
"Jadi, saya setuju kita harus mengambil langkah perkukuh institusi ini, bebaskan mereka dan berikan satu pendirian yang cukup jelas bahawa tindakan yang keras dan maksimum akan diambil,” katanya.
Anwar turut menegaskan kerajaan tidak wajar menjadikan SPRM sebagai senjata politik demi mengukuhkan kuasa mereka.
Beliau turut membidas sikap kerajaan sedia ada yang mengamalkan pendakwaan terpilih dengan menghukum pemimpin yang menentang, sebaliknya melepaskan ahli politik yang menyokong mereka.
"Kalau seseorang pemimpin PKR, masuk parti lain (sokong kerajaan) maka beliau dilepaskan.
"Kalau tidak sokong, beliau didakwa. Jadi kita hendak yakinkan rakyat macam mana yang kita ini menentang rasuah? Orang rasuah yang berada di keliling kita, tidak apa...dimaafkan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca