SINDIKET sering mempromosikan kenderaan klon di media sosial termasuk aplikasi Telegram dengan menawarkan jualan kereta murah pelbagai jenis model mengikut tahun. Sekiranya pembeli berminat, mereka akan hubungi sindiket untuk urusan jual beli.
"Kita dapati harga ditawarkan terlalu murah. Contohnya, Toyota Vellfire tahun 2011 dijual pada harga RM23,000 berbanding harga pasaran RM90,000 hingga RM130,000. Range Rover tahun 2015 dijual pada harga RM90,000 tetapi harga pasaran RM130,000 hingga RM139,000. Audi A5 dijual RM30,000.
"Itu lingkungan harganya. Jika dijual pada harga teramat murah, adakah ia logik?
"Bagi pemikiran normal, tidak logik harga itu bagi sebuah Toyota Vellfire. Mustahil boleh dapat harga serendah itu untuk kenderaan yang didaftarkan atas jalan.
"Tidak akan dapat kecuali kereta yang datang itu memang teruk, hancur dan hanya untuk dijadikan sebagai alat ganti, mungkin boleh,” kata Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Nazli Md Taib.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi menyukarkan pembeli mengesan kenderaan dibeli adalah klon, sindiket akan menggunakan alasan yang meyakinkan.
"Bila ditanya pembeli, sindiket akan mendakwa kereta ini adalah kereta dari Singapura yang sudah tidak boleh digunakan di sana dan kami (sindiket) mendapatkannya pada harga murah tetapi telah didaftarkan dengan pihak berkuasa.
"Di sinilah orang yang tidak tahu proses tukar milik kenderaan akan terpedaya,” katanya.
Bagaimanapun, Nazli tidak menafikan ada pembeli sememangnya mengetahui kenderaan yang dibelinya adalah klon.
Menurut Nazli, antara model popular yang menjadi pilihan pembeli kereta klon ialah Honda, Toyota, Mercedes-Benz, BMW, Volkswagen dan Mini Cooper.
"Saya yakin jika kereta mewah ini boleh dijual di bawah RM50,000, tidak mustahil kenderaan klon mewah banyak atas jalan,” katanya.
Ketika ditanya mengapa ada individu yang membeli kereta klon, Nazli menjelaskan, ia disebabkan faktor harga.
Berdasarkan kes tangkapan, ada pemilik kereta klon mengaku membeli kereta tersebut kerana tidak mampu membeli kereta sebenar mengikut harga pasaran yang terlalu tinggi.
"Kita juga pernah tangkap seorang individu menggunakan kereta klon jenis Mercedes dua pintu. Sebab apa? Kerana mahu bergaya,” katanya sambil menambah, rata-rata pembeli kenderaan klon berumur 20 hingga 40-an.
"Ada antara mereka ini bekerja sendiri, makan gaji atau mempunyai perniagaan kecil,” jelas beliau.
JPJ kenal pasti kereta klon
Pihak JPJ ada beberapa cara mengesan kereta klon antaranya menerusi aduan pemilik asal kenderaan.
"Contohnya, ada pemilik mendapati keretanya dilihat di Shah Alam tetapi dia tinggal di Terengganu. Pemilik kemudian buat laporan di JPJ Terengganu sebelum maklumat disampaikan kepada JPJ Selangor untuk siasatan. Kita akan hantar pasukan risikan kita untuk mengesan kenderaan terbabit,” katanya.
Jelasnya lagi, cara kedua adalah melalui sekatan jalan raya yang memberi tumpuan kepada kereta klon. Spesifikasi kenderaan yang dijual di Thailand dan Singapura adalah tidak sama dengan di Malaysia walaupun modelnya serupa.
"Mungkin ada beza pada warna, antena, tayar atau lampu. Kita ada pegawai yang dilatih khas untuk kenal pasti kereta klon. Jika nombor enjin tidak ada dalam rekod JPJ, ia sudah tentu palsu,” katanya.
Menurut Nazli, kereta klon dianggap bahaya jika disalah guna.
Ini kerana katanya, penjenayah mudah mendapatkan kenderaan mewah itu untuk melakukan jenayah tanpa dikesan kerana kenderaan itu tiada rekod JPJ.
"Pembeli dan penjual yang terlibat dalam urusan kenderaan klon juga sukar dikesan,” ujar beliau.
Tegas Nazli, pihaknya juga sentiasa memantau media sosial yang mempromosikan kegiatan jual beli kenderaan pada harga murah.
"Kita pantau dan akan laksanakan operasi besar-besaran untuk menahan dan mencari pemilik kenderaan klon.
"Kepada pemilik yang mengesyaki kereta mereka adalah klon, anda boleh serahkan kenderaan itu kepada JPJ.
"Mereka yang berdegil dan terus membeli kenderaan klon, kita akan tahan dan dakwa di mahkamah,” katanya.
"Seseorang yang didapati memiliki dan memandu kenderaan klon boleh diambil tindakan di bawah peruntukan undang-undang yang ada,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca