DUA minggu menjelang Aidilfitri kebanyakan umat Islam yang berada di perantauan mula dibayangi persoalan sama ada kerajaan membenarkan rentas negeri untuk mereka pulang meraikan Aidilfitri di kampung halaman atau tidak. Namun, harapan cuma... Klik di sini untuk terus membaca

DUA minggu menjelang Aidilfitri kebanyakan umat Islam yang berada di perantauan mula dibayangi persoalan sama ada kerajaan membenarkan rentas negeri untuk mereka pulang meraikan Aidilfitri di kampung halaman atau tidak.

Namun, harapan cuma tinggal harapan selepas Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 April lalu menyatakan bahawa larangan rentas negeri masih dikekalkan.

Rata-rata menyuarakan rasa kecewa, sedih, pilu malah ada yang meluahkan sudah tidak tertanggung kerinduan terhadap ibu bapa dan kampung halaman.

"Tahun lepas tidak boleh balik beraya, tahun ini pun sama sahaja. Macam mana kerajaan laksana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah bertahun tetapi kes masih naik mencanak?”

Itu antara luahan orang ramai yang dipaparkan di media sosial.

Apa yang diluahkan itu sebahagian kecil daripada suara hati di medium paparan emosi, media sosial yang boleh ditulis oleh sesiapa pun.

Jika diikutkan, penulis juga begitu. Sudah dua tahun penulis berada di perantauan dan tidak menyambut Aidilfitri di kampung.

Berjauhan daripada keluarga sesekali mengundang rasa rindu untuk menatap wajah insan kesayangan.

Rindu mungkin boleh diubati, bagaimana pula mereka yang diuji dengan kehilangan insan tercinta yang pergi buat selama-lamanya.

Penulis turut bersimpati dan mendoakan agar dipermudahkan urusan bagi rakan-rakan yang tidak sempat menatap wajah insan kesayangan yang telah pergi disebabkan halangan untuk merentas negeri.

Sejujurnya, bagi pandangan penulis, dalam tempoh pandemik ini ini kita perlu kental dan tabah menerima apa jua aturan kehidupan lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal hidup dan mati.

Jujur

Sebagai rakyat, kita tidak boleh sepenuhnya menyalahkan kerajaan. Jika diimbau kembali, pada 4 Mac lalu, dalam nada penuh pengharapan, Ismail Sabri juga pernah menyuarakan supaya seluruh rakyat Malaysia dapat mendoakan supaya semua boleh pulang ke kampung untuk meraikan Aidilfitri tahun ini.

"Doakan kita boleh balik kampung raya Aidilfitri tahun ini,” luah beliau selepas merujuk kepada trend penurunan kes harian Covid-19, ketika itu.

Apa yang dirancang masih belum menjadi nyata. Ketika ini kita berdepan dengan ribuan kes saban hari malah.

Bayangkan jika dalam situasi ribuan kes saban hari ini, kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dalam jumlah yang besar ke kampung halaman.

Perlu diingatkan, Melayu merupakan kumpulan majoriti di negara ini dan sudah tentu akan melibatkan jumlah pergerakan yang besar dan kebarangkalian kes naik mencanak juga pasti akan terus menghantui negara kita.

Keputusan untuk menangguhkan rentas negeri bagi menyambut Aidilfitri adalah tepat dalam situasi terkini negara berdepan penularan pandemik Covid-19 yang masih bertebaran di sana sini.

Suka juga untuk penulis ingatkan dalam situasi pandemik ini, kedudukan setiap daripada kita adalah sama sahaja.

Jujurlah dalam setiap apa yang kita lakukan dan usah pentingkan diri sendiri. Jangan kerana sikap pentingkan diri sendiri kita, seluruh ahli keluarga dan orang kampung dijangkiti Covid-19.

Kasihanilah juga kepada kumpulan barisan hadapan yang telah sekian lama bertungkus-lumus berperang dengan pandemik ini untuk memastikan kesejahteraan kita.

Dalam undang-undang norma baharu ini, tiada sistem kasta, tiada golongan ‘kayangan’ dan tiada golongan bawahan. Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan ditetapkan juga termaktub kepada semua.

Apa yang penulis harapkan, Syawal yang bakal menjelang tiba nanti semua pihak dapat mematuhi keputusan yang dimuktamadkan kerajaan sebelum ini.

Jika golongan bawahan boleh patuh dengan hanya bersua dengan keluarga melalui alam maya, penulis juga berharap tiada golongan ‘kayangan’ di kota yang boleh ‘terbang’ untuk singgah bertemu keluarga masing-masing di kampung.

* Norhaspida Yatim ialah wartawan Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca