JOHOR Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman (KDA) FC, Penang FC dan Terengganu FC (TFC) tampak lebih dominan berbanding lapan kelab lain sebaik sahaja pusingan pertama saingan Liga Super berakhir pada Ahad.
Seperti diramal, JDT yang juga juara tujuh kali berturut-turut masih unggul menawan puncak Liga Super tatkala KDA FC, Penang FC dan TFC sedang ligat mengejar kedudukan skuad Harimau Selatan itu.
Berbanding KDA FC dan TFC yang dianggap cukup berpengalaman, kelibat Penang FC yang musim ini dilihat lebih 'mengancam' sehingga mampu memberi cabaran kepada kelompok pasukan teratas liga Liga Super.
Menurut penganalisis bola sepak negara, Azlan Johar, senario berkenaan pasti menjanjikan saingan lebih sengit khususnya daripada kelab-kelab yang berada pada pertengahan liga untuk terus mencabar kedudukan 'empat terbaik'.
"Buat masa ini, saya lebih berminat melihat pendakian daripada pasukan-pasukan seperti Penang FC dan Kuala Lumpur (KL) City FC yang menunjukkan peningkatan ketara sejak akhir-akhir ini.
"Pasukan-pasukan ini (Penang FC dan KL City FC) gagal mengumpul mata penuh dalam beberapa perlawanan, tetapi keupayaan serta persembahan mereka didapati meningkat pada setiap perlawanan.
"Dua pasukan itu juga mampu menjaringkan gol dan ia satu aspek yang perlu diberikan perhatian oleh pasukan lain terutamanya yang berada dalam kelompok teratas jika tidak mahu tergelincir ke bawah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.Penang FC yang kembali membuat penampilan di pentas Liga Super musim ini mula dilabel sebagai pencabar terkuat JDT apabila sekadar tewas satu perlawanan dalam 11 aksi pusingan pertama Liga Super.
Malah, skuad Harimau Kumbang itu yang dibimbing Tomas Trucha kebal dengan rekod tanpa kalah dalam sembilan perlawanan terakhir selepas tewas 0-2 kepada JDT di Stadium Sultan Ibrahim pada 9 Mac lalu.
Dalam pada itu, Azlan berkata, tiga kelab yang berpangkalan di Lembah Klang - Selangor FC, PJ City FC dan KL City FC masih mampu memberikan cabaran kepada empat pasukan teratas tersebut.
"Saya percaya Selangor FC akan bangkit pada baki pusingan kedua Liga Super nanti. Walaupun prestasi mereka tidak begitu konsisten pada pusingan pertama, kemampuan Selangor FC masih tidak boleh diketepikan.
"Begitu juga KL City dan PJ City.... walaupun kedua-dua pasukan ini tidak begitu dominan tetapi saya percaya mereka masih membuat kejutan dan tidak mustahil berupaya menyaingi pasukan-pasukan pilihan,” ujarnya.
Selepas mengharungi 11 perlawanan Liga Super setakat ini, JDT masih unggul di persada liga apabila merekodkan 24 mata diikuti KDA FC yang mengumpul 23 mata manakala Penang FC (22 mata) dan TFC (21 mata).
Klik di sini untuk terus membaca