SHAH ALAM - Susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negara ini, beberapa pakar kesihatan mengesyorkan tiga langkah bagi mengelakkan Malaysia menerima nasib seperti di India yang mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi di dunia.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negara ini, beberapa pakar kesihatan mengesyorkan tiga langkah bagi mengelakkan Malaysia menerima nasib seperti di India yang mencatatkan jumlah jangkitan tertinggi di dunia.

Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC), Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, langkah tersebut ialah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi negeri-negeri yang mempunyai kes tinggi, meningkatkan pemberian vaksin kepada rakyat dan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, tiada jalan lain bagi meredakan jangkitan Covid-19 melainkan kerajaan dan rakyat negara ini mengambil serius tiga langkah tersebut.

"Pada pandangan saya, pelaksanaan PKP bagi negeri-negeri yang mempunyai kes Covid-19 tinggi bagi tempoh minimum dua minggu adalah wajar.

"Tempoh dua minggu ini untuk meredakan kes jangkitan yang melepasi angka 3,000. Kita semua tahu katil di unit rawatan rapi (ICU) di enam buah hospital di Lembah Klang telah mencapai tahap 90 peratus penggunaannya selain ada negeri yang mungkin berdepan situasi kekurangan katil di Pusat Kuarantin serta Rawatan Covid-19 (PKRC),” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Sazaly berkata, jumlah pemberian vaksin kepada rakyat negara ini perlu dipertingkatkan dan tidak boleh dilengahkan lagi bagi tujuan memutuskan rantaian wabak tersebut.

"Saya cukup kagum dengan pendekatan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang membuka kepada umum bagi mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca biarpun sebelum ini rakyat masih ragu-ragu.

"Kita lihat baharu beberapa jam permohonan dibuka, sudah pun penuh. Dalam situasi itu, saya boleh katakan bahawa kritikan terhadap usaha kerajaan akan ada tetapi apabila ia dibuka, ramai yang ingin mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

Dr Sazaly

Beliau berharap pematuhan terhadap SOP dalam kalangan rakyat di negara ini terus konsisten kerana jika ia diabaikan, jangkitan tersebut akan terus meningkat.

"Saya perhatikan ramai yang mula mengabaikan SOP. Ada yang suka pergi ke tempat ramai orang dan tidak memakai pelitup muka walaupun berada di kawasan awam.

"Jika kita abaikan, saya bimbang kita menjadi seperti India di mana pusat kesihatan mereka tidak dapat menampung jumlah pesakit,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kluster Kesihatan dan Perubatan, Akademi Profesor Malaysia, Profesor Dr Adlina Suleiman turut bersetuju dengan cadangan pelaksanaan PKP selama dua minggu bagi mengekang peningkatan penularan pandemik Covid-19.

"Saya bersetuju kerajaan melaksanakan PKP 3.0 seperti PKP 1.0 dahulu tetapi dalam dua minggu kerana kebanyakan negara luar sudah melaksanakan PKP seperti Turki dan India menghala ke arah itu.

"Pelaksanaan PKP di negeri yang mempunyai kes jangkitan tinggi perlu dilaksanakan seperti pada bulan Mac lalu. Tiada makan dalam premis, lepas itu yang boleh keluar pergi beli barang satu atau dua orang tapi daripada keluarga yang sama. Kanak-kanak sepatutnya tidak boleh keluar rumah,” katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Dzulkhairi Mohd Rani berkata, masyarakat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Sentiasa memakai pelitup muka, cuci tangan dan elakkan berkumpulan sama ada mengadakan perhimpunan atau menyertai himpunan.

"Kalau tengok di India, sebenarnya penularan bermula apabila orang berkumpul beramai-ramai dalam perhimpunan keagamaan.

"Walaupun kelonggaran diberi oleh kerajaan seperti dibenarkan solat tarawih, jangan sia-siakan tetapi perlu ikut SOP,” katanya.

Pada Sabtu, India merekodkan lebih 400,000 kes baharu Covid-19 dan muncul sebagai negara pertama melaporkan jumlah kes harian tertinggi.

Menurut Kementerian Kesihatan negara itu, jumlah keseluruhan kes telah melebihi angka 19 juta dengan kematian lebih 211,000 kes.

Klik di sini untuk terus membaca