SHAH ALAM - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang mungkin diumumkan nanti perlu memperlihatkan situasi menang-menang kepada semua pihak.
Pensyarah Kanan Sains Politik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata, dalam keadaan umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri minggu hadapan, sudah pasti ramai berharap pengumuman yang dibuat akan menggembirakan semua pihak.
"Terutama dalam konteks sudah setahun kita ‘terkurung’ dan tidak balik beraya. Kita juga berharap sekiranya PKP, ia tidak lagi menyeluruh seperti tahun lalu.
"Pengumuman yang akan datang ini perlu memikirkan satu mekanisme tidak lagi seperti ini kerana di negara luar sudah menunjukkan pelbagai contoh dan kaedah bagaimana tanpa perlu melakukan PKP,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Dalam pada itu, Mujibu turut mencadangkan sekiranya diadakan PKP, ia perlu dibuat secara bersasar di mana hanya melibatkan negeri yang terjejas teruk.
"Benar, kita risau kerana tekanan sistem kesihatan semakin memuncak seperti katil semakin penuh dan sebagainya. Itu antara satu alasan yang membolehkan PKP dibuat tetapi melakukan PKP secara menyeluruh bagi saya ia tidak adil.
"Ada negeri yang tidak perlu PKP seperti Perlis dan Negeri Sembilan yang boleh difikirkan kaedah lain. Jangan semua PKP secara keseluruhan,” katanya.
Menurutnya, sebelum kerajaan mengumumkan PKP, dua aspek perlu difikirkan iaitu dari segi vaksinasi dan penguatkuasaan.
"Aspek vaksinasi perlu disegerakan kerana kita jelas kelihatan lembab dan terlalu lambat dalam proses itu.
"Keduanya dari segi aspek penguatkuasaan. Jangan ketepikan elemen kemanusiaan dalam menghukum,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca