KETUA Al-Qaeda, Osama Laden mati ditembak pada 2 Mei 2011 di sebuah rumah tiga tingkat di Abottabbad, Pakistan tetapi selepas 10 tahun kematiannya, kumpulan yang diasaskannya itu masih kekal menjadi ancaman kepada dunia.
Osama mati ditembak oleh seorang anggota Pasukan Tentera Laut, Darat dan Udara Amerika Syarikat (AS) atau lebih dikenali sebagai SEAL dalam satu operasi khas yang mendapat kelulusan daripada Presiden AS ketika itu, Barack Obama.
Seorang bekas anggota SEAL itu, Rob O'Neill dipetik sebagai berkata dalam blog Muzium Memorial tentang serangan pengganas 11 September 2001 bahawa beliau menembak tiga kali ke arah Osama dalam operasi tersebut.
Menurut portal The Intercept, O'Neill melempaskan satu siri tembakan dan mengenai dahi ketua Al-Qaeda itu manakala dua sumber memberitahu seorang bekas anggota tentera AS, Jack Murphy bahawa beberapa anggota SEAL yang lain kemudian melepaskan lebih 100 tembakan pada badan Osama.
Ketua Staf Tentera Pakistan ketika itu, Jeneral Ashfaq Kayani turut dilaporkan mengucapkan tahniah kepada Obama beberapa jam selepas Ketua Al-Qaeda itu mati ditembak dalam serbuan enam anggota SEAL itu di rumah tersebut.
Selepas mayatnya dikenal pasti sebagai Ketua Al-Qaeda di Afghanistan, jenazah Osama itu dipindahkan ke sebuah kapal pengangkut pesawat tentera AS, USS Carl Vinson untuk dikebumikan di Laut Arab.
Bagaimanapun, pada Oktober 2020, bekas anggota SEAL itu menafikan dakwaan Presiden AS ke-45, Donald Trump yang mendakwa jenazah Osama itu sebenarnya individu lain tetapi memiliki wajah dan badannya sama sepertinya.
Teori Trump itu turut dikritik pelbagai pihak di AS tetapi selepas kematian Ketua Al-Qaeda itu, seorang warga Mesir dan doktor, Ayman al-Zawahiri didakwa menjadi pengganti Osama untuk menjadi pemimpin No.1 kumpulan tersebut.
Pada Ahad lalu, Presiden AS, Joe Biden turut mengeluarkan kenyataan bagi memperingati ulang tahun ke-10 kematian Osama dengan menyatakan beliau tidak dapat melupakan detik-detik Ketua Al-Qaeda itu dibunuh dalam serbuan tersebut yang mana ketika kejadian Biden merupakan Naib Presiden di bawah pentadbiran Obama.
Setakat ini tidak diketahui sama ada Zawahiri yang berusia 69 tahun itu masih hidup atau sudah meninggal dunia tetapi beliau dipercayai berada di sempadan Afghanistan-Pakistan dan kurang karismatik berbanding Osama.
Menurut seorang pakar keganasan di Kolej Haverford di Pennsylvania, AS, Barak Mendelsohn kepada AFP, kejayaan terbesar Zawahiri ialah memastikan Al-Qaeda terus hidup.
Mendelsohn berkata, kepimpinan Al-Qeada kini lebih seakan-akan kepada sebuah badan penasihat selain membantu golongan jihad di seluruh dunia berbanding menjadi badan pembuat keputusan.
Ketika di bawah kepimpinan Zawahiri, Al-Qaeda memberikan kebenaran operasi-operasinya dilakukan oleh kumpulan-kumpulan Islam dari barat laut Afrika ke Somalia hingga ke Afghanistan termasuk di Syria serta Iraq.
"Di bawah kepimpinan Zawahiri, Al-Qaeda menjadi lebih tersusun dengan penurunan kuasa kepada pemimpin-pemimpin bersekutu Al-Qaeda," menurut satu laporan dari kumpulan pemikir Projek Memerangi Ekstremisme seperti dilaporkan AFP.
Ia menyatakan warga Mesir itu memainkan peranan penting dalam menyusun atur semula sejumlah kumpulan jihad di bawah payung Al-Qaeda.
Pada akhir tahun 2020, terdapat laporan yang tidak disahkan tetapi menyatakan Zawahiri telah meninggal dunia akibat serangan jantung namun beliau kemudian muncul dalam satu rakaman video dan mengutuk penderitaan yang dialami oleh penduduk Muslim Rohingya di Myanmar.
Bagaimanapun, ketiadaan tarikh bila rakaman video itu dibuat menyebabkan kesukaran untuk mengesahkan atau menafikan bahawa Zawahiri masih hidup.
Beliau dilaporkan telah menyertai perjuangan gerakan Islam sejak empat dekad lalu.
Pada Ogos tahun lalu, orang No. 2 dalam kepimpinan Al-Qaeda, Abdullah Ahmed Abdullah atau lebih dikenali dengan nama samaran Abu Mohammed al-Masri terbunuh di Teheran, Iran dipercayai dilakukan oleh ejen-ejen Israel.
Pembunuhan itu menyebabkan berlakunya ketidakpastian dalam komposisi kepimpinan Al-Qaeda.
Menurut AFP, jika Zawahiri masih hidup, ia bermakna Al-Qaeda dipimpin oleh seorang lelaki yang dipercayai sedang sakit dan merupakan arketik serangan pengganas pada 11 September 2001 di AS.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) milik AS telah mengeluarkan ganjaran sebanyak AS$25 juta (RM102.97 juta) untuk sebarang maklumat yang diberikan sehingga tertangkapnya warga Mesir itu tetapi penganalisis berkata, para pegawai Amerika dilihat tidak melakukan usaha bersunggu-sungguh untuk menangkapnya.
Kurangnya minat Washington untuk memburu Zawahiri itu disebabkan oleh kelemahan Al-Qaeda sebagai sebuah kumpulan pembuat keputusan dan kewujudan kumpulan Daesh yang merupakan saingannya.
Daesh ketika kemuncak kemunculannya berjaya menguasai sejumlah wilayah di Iraq dan Syria sebelum Trump mengumumkan ia berjaya ditewaskan oleh AS pada tahun 2017 selain pernah mengatasi Al-Qaeda sebagai suara radikal dalam perjuangan di media sosial. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca