[INFOGRAFIK] Prestasi eksport Malaysia kekal pada paras tinggi apabila merekodkan peningkatan ketara sebanyak 31 peratus kepada RM104.9 bilion pada Mac 2021 berbanding 17.6 peratus pada bulan sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan berkenaan didorong oleh oleh eksport domestik dan eksport semula.
"Eksport domestik berjumlah RM87 bilion menyumbang 82.9 peratus kepada jumlah eksport dan meningkat 38.5 peratus.
"Sementara eksport semula pula bernilai RM17.9 bilion, naik 3.7 peratus tahun ke tahun,” katanya pada Jumaat lalu.
Beliau berkata, prestasi import Malaysia pada Mac 2021 mencatatkan pertumbuhan kukuh dua digit sebanyak 19.2 peratus berbanding bulan sama pada 2020.
"Import meningkat 15.9 peratus atau RM11.1 bilion berdasarkan bulan ke bulan manakala berdasarkan terma pelarasan musim pula import meningkat 3.9 peratus.
"Berdasarkan tahun ke tahun, import mengikut penggunaan akhir merekodkan peningkatan barangan perantaraan, barangan modal dan barangan penggunaan,” katanya.
Mengulas jumlah dagangan Malaysia pada Mac 2021, Dr Mohd Uzir berkata, ia mencatatkan lonjakan ketara sebanyak 25.6 peratus mencecah RM185.7 bilion berbanding bulan yang sama tahun lalu.
Menurutnya, eksport kekal pada paras yang tinggi apabila mencatatkan kenaikan 30 peratus kepada RM104.9 bilion berbanding Mac 2020 manakala import pula bernilai RM80.8 bilion meningkat 19.2 peratus tahun ke tahun.
"Ini adalah pertumbuhan tahun ke tahun tertinggi dalam tempoh 44 bulan,” katanya.
Katanya, lebihan dagangan berjumlah RM24.2 bilion atau 96.1 peratus lebih tinggi
berbanding Mac 2020.
"Ini adalah lebihan dagangan bagi bulan ke-11 berturut-turut sejak Mei 2020,” katanya.
Katanya, berdasarkan bulan ke bulan, eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan masing-masing pada Mac 2021 kukuh dengan kenaikan 19.8 peratus, 15.9 peratus, 18.1 peratus dan 35.1 peratus.
Dalam pada itu, China kekal menjadi rakan utama dagangan luar negeri Malaysia diikuti oleh Singapura dan Amerika Syarikat (AS).
Eksport negara mencatatkan jumlah yang memberangsangkan pada Mac 2021 dengan China merekodkan 46.6 peratus peningkatan kepada RM16.1 bilion berbanding bulan sama pada tahun lalu.
Sementara eksport ke Singapura merekodkan peningkatan sebanyak 31.6 peratus kepada RM15 bilion dan AS pula merekodkan peningkatan 67.5 peratus kepada RM12.3 bilion.
Jumlah import ketiga-ketiga negara turut merekodkan kenaikan yang mana China mencatatkan lonjakan sebanyak 27.8 peratus, Singapura (34.9 peratus) dan AS (7.6 peratus) pada bulan sama tahun sebelumnya.
Berdasarkan eksport dan import bulan ke bulan yang dicatatkan pada tahun ini, jumlahnya bagi ketiga-tiga negara meningkat dan boleh dilihat dengan jelas melalui carta disediakan.
Bagaimanapun, jumlah bagi eksport dan import Malaysia ke China, Singapura dan AS merosot pada Februari berbanding Januari dan Mac.
Kemerosotan tersebut dipercayai berpunca daripada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang dikuatkuasakan pada pertengahan Januari 2021 sehingga Februari 2021.
Klik di sini untuk terus membaca