SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador bersedia untuk dirakam keterangan berhubung pendedahannya mengenai campur tangan politik dalam Cawangan Khas Bukit Aman.
Menurut Abdul Hamid, tidak menjadi masalah sekiranya pihak berkuasa memanggilnya untuk siasatan.
"Saya tengok perkembangan. Kalau nak saya datang beri keterangan, saya datanglah.
"Pada saya biarlah kepimpinan Bukit Aman siasat, nak tentukan kes jenayah ke terpulang kepada mereka.
"Apa pun saya nak halang perancangan menguasai Cawangan Khas untuk digunakan bagi kepentingan politik, (sebab) itulah saya dedahkan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian. Abdul Hamid sebelum ini mendakwa Cawangan Khas Bukit Aman pernah diminta menjalankan operasi yang tiada kena-mengena dengan urusan keselamatan negara.
Arahan tersebut menurut Abdul Hamid enggan dilakukan oleh jabatan berkenaan dan akibat daripada itu, ia tidak disenangi oleh ‘orang tertentu’ sehingga menyebabkan ada permintaan supaya pertukaran jawatan dilakukan.
ARTIKEL BERKAITAN: Cawangan Khas diminta lakukan kerja-kerja di luar bidang keselamatan negara - Hamid Bador
Tegasnya, rasa tidak senang jabatan itu berhubung arahan tersebut telah dibawa ke pengetahuan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin).
"PDRM bernasib baik kerana Perdana Menteri memahami situasi yang kami hadapi dan mengarahkan supaya Cawangan Khas meneruskan tugas sepertimana biasa dan mengabaikan arahan berkenaan,” ujar beliau.Tekanan dan kekangan tugasan yang dihadapi oleh agensi perisikan PDRM itu tegas beliau berlaku sejak setahun yang lalu.
Abdul Hamid yang tamat perkhidmatan sebagai Ketua Polis Negara pada Isnin, kebelakangan ini menyatakan rasa tidak senang terhadap campur tangan politik dalam urusan harian PDRM.
Dalam sidang akhbar terakhirnya sebelum bersara, beliau mencadangkan supaya pengerusi Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang dipengerusikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin digantikan oleh bekas hakim atau mana-mana individu yang tiada kaitan dengan politik.
Bagaimanapun pakar perundangan berkata, cadangan itu boleh dilaksanakan jika Perlembagaan Persekutuan berhubung penubuhan SPP dipinda dahulu.
Sementara itu, Abdul Hamid berkata, apa yang sedang dihadapi Cawangan Khas membuktikan kekangan dihadapinya semasa berkhidmat sebagai KPN bukanlah satu kes yang terpencil.
"Ia sebenarnya turut melibatkan jabatan lain dalam pasukan polis seperti yang dihadapi oleh Cawangan Khas, bukan saya seorang,” ujarnya.
Bagaimanapun kata Abdul Hamid, pada 16 Febuari lalu, Pengarah Cawangan Khas ‘dinasihatkan’ segera melepaskan jawatan dengan memberi notis satu bulan atau diberi notis tamat kontrak awal.
Kata Abdul Hamid, kontrak pengarah berkenaan sepatutnya tamat pada Jun depan.Isu tersebut juga kata Abdul Hamid telah dibawa ke pengetahuan Perdana Menteri.
"Syukur Perdana Menteri sekali lagi meminta agar pengarah berkenaan meneruskan tugasnya sehingga kontraknya tamat Jun nanti,” ujar beliau.
Sebelum ini, Abdul Hamid mendakwa Hamzah melakukan campur tangan terhadap pelantikan pegawai kanan polis.
Klik di sini untuk terus membaca