IPOH - Islam mengharamkan perbuatan fitnah, namun dalam masa sama seseorang itu wajib mengelakkan diri daripada membuka ruang untuk difitnah.
Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, lebih-lebih lagi sekiranya individu itu seseorang yang berpengaruh dan menjadi tumpuan umum termasuk mempunyai ramai pengikut di media sosial.
"Golongan seperti ini adalah dituntut untuk lebih berhati-hati memandangkan segala tindak tanduk diperhatikan banyak pihak, menjadi ikutan dan hujahan orang ramai.
"Paling penting dan wajib dilakukan ialah menghindarkan diri daripada kelakuan atau perbuatan yang membawa kepada fitnah.
"Apabila ada ruang untuk berprasangka, maka seterusnya akan berlaku fitnah dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Rabu.
Tanpa menyebut secara terperinci individu yang dimaksudkan, Zamri berkata, golongan seperti itu sepatutnya menunjukkan teladan yang baik terutama ketika negara sedang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Mereka perlu menjadi contoh (qudwah) kepatuhan kepada peraturan dan undang-undang yang digubal,” kata beliau.
Menurutnya, kes melibatkan individu berpengaruh yang tular sejak kebelakangan ini hanya akan menyemarakkan lagi bibit-bibit fitnah dan tuduh-menuduh antara satu sama lain.
"Kerukunan hidup bermasyarakat dan ketenangan beribadat akan berkocak, apatah lagi dalam bulan mulia ini.
"Kita sepatutnya menjadikannya bulan untuk mempertaut kasih sayang antara umat Islam di samping berusaha memburu taqwa,” katanya.
Pada Ahad, selebriti sensasi, Neelofa atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Haris Ismail atau PU Riz sekali lagi mencetuskan kontroversi di media sosial apabila memuat naik foto membeli karpet di Pusat Perniagaan Nilai 3 di Negeri Sembilan.
Tindakan bekas pengacara program MeleTop itu mengundang kecaman netizen kerana merentas negeri dalam tempoh PKP Bersyarat di Selangor dan Kuala Lumpur.
Dalam masa sama, netizen turut mempersoalkan majlis tahnik sempena kelahiran anak kedua penyanyi, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin yang dikatakan melanggar prosedur operasi standard (SOP) termasuk larangan rentas negeri membabitkan salah seorang tetamu.
Kontroversi tercetus selepas tular beberapa foto memaparkan seorang menteri dan pendakwah bebas terkenal yang dipercayai menetap di Terengganu dibenarkan merentas negeri untuk hadir ke majlis berkenaan.
Netizen terkilan dengan penganjuran majlis berkenaan dan mendakwa wujud SOP dua darjat antara golongan selebriti dan rakyat biasa.
ARTIKEL BERKAITAN: Polis panggil Neelofa, suami isu rentas negeri ke kedai karpet di Nilai 3
Netizen persoal kehadiran individu ternama di majlis tahnik anak Siti Nurhaliza
Klik di sini untuk terus membaca