KISAH mengenai sebuah keluarga yang memiliki 28 anak yang menetap di rumah yang serba kekurangan yang tular di media sosial sejak kelmarin mendapat pelbagai respons daripada masyarakat.
Ada yang berasa kasihan melihat situasi tersebut dan ada juga yang geleng kepala dan mendakwa golongan sebegini yang didakwa beranak sahaja pandai, tetapi tidak mampu menyediakan keperluan yang mencukupi kepada keluarga.
Malah ada juga yang secara sinis berkata, dalam keadaan tidak mampu itu tetapi masih boleh beristeri empat! Memang hebat kerana orang yang berkemampuan pun belum tentu mampu untuk beristeri empat.
Bayangkan, seramai 28 orang anak tidak bersekolah manakala empat orang isteri pula berhimpit tinggal di dalam rumah sewa.
Inilah yang dikatakan miskin harta tapi kaya anak. Tapi sayangnya, kebajikan anak-anaknya terabai. Anak sulung dilaporkan sudah lari meninggalkan rumah, mungkin kerana kedaifan keluarga.
Amat menyedihkan apabila anak-anak itu tadi tinggal di rumah tanpa ada bilik khas untuk mereka. Tidur berselerakan. Sudah pasti keadaan itu tidak selesa terutama bila sudah meningkat dewasa.
Lebih mendukacitakan adalah sikap ayah dan ibu yang seolah-olah tidak bertanggungjawab untuk menyediakan pendidikan sempurna untuk anak-anak. Mereka tidak bersekolah, apa akan jadi dengan masa hadapan mereka.
Kalau mahu berkahwin empat sekalipun, kena tahu kemampuan diri. Kemampuan bukan dari segi batin saja, tetapi zahir juga kena mampu.
Kasihan dengan isteri, kasihan dengan anak-anak kerana mereka berhak menikmati kehidupan yang selesa. Jangan tahu beranak saja.
Berdasarkan rekod daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS), keluarga itu telah menerima pelbagai bantuan daripada pihaknya termasuk kewangan, bulanan, makanan, sewa rumah, modal, persekolahan anak, raya serta kecemasan.
Ada dua kehairanan saya. Pertama, bagaimana lelaki itu mendapat kebenaran poligami. Kedua, mengapa mereka tidak merancang keluarga. Sepatutnya kesukaran mencari rezeki akan membolehkan mereka berfikir panjang soal perancangan anak.
Ketika menjadi wartawan Bacaria lebih 16 tahun yang lalu, saya pernah mengikut seorang wakil rakyat di Selangor menyerahkan sumbangan kepada golongan asnaf di kawasannya.
Ada tiga tempat kesemuanya. Saya perasan ada seorang lelaki yang sama menerima sumbangan berkenaan. Saya bertanya, bukankah sudah dapat sumbangan sebelum ini?
Dia menjawab, saya ada ‘tiga rumah’. Saya kata pada dia, "Abang memang lelaki bertuah.” Bertuah dari segi apa, kena tafsir sendiri.
Seingat saya pada tahun lalu, seorang wanita pernah dikecam teruk oleh netizen kerana menegur golongan yang beranak ramai sedangkan gaji tidak mencukupi untuk menanggung ahli keluarga.
Wanita itu berkata, sudah tahu gaji suami RM800-RM1,000, janganlah beranak banyak-banyak sampai 5-6 orang anak sehingga menyusahkan diri sendiri, makan minum tak cukup dan kemudian salahkan kerajaan.
Malah wanita yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Sains Malaysia itu turut menyarankan kerajaan agar menggubal undang-undang yang menetapkan satu keluarga hanya dibenarkan mempunyai seorang anak.
"Selain itu, kawal nafsu atau makan ubat perancang. Kalau nak anak ramai, carilah kerja yang lebih bagus dari sebelumnya agar senang menanggung anak atau buat dua kerja dalam satu masa. Malah, isteri juga perlu bekerja,” katanya.
Walaupun ada yang menganggap cadangan menghadkan kelahiran anak adalah kurang cerdik dan mundur, kerana pernah dilaksanakan oleh China suatu ketika dulu, tetapi bagi saya realistik jika merujuk kepada kisah keluarga 28 anak itu.
Jangan fikir nafsu saja, fikir juga kemampuan untuk menyara keluarga. Betul, ALLAH telah menetapkan rezeki masing-masing tetapi sebagai ibu bapa, wajib jaga kebajikan anak-anak seperti makan, pakai dan pendidikan.
Jangan sampai mereka terbiar. Anak-anak adalah amanah daripada ALLAH, kena jaga dengan sebaik mungkin. Sebab itu kalau tak mampu, jangan ambil risiko. Kasihan kepada anak-anak.
* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca