SHAH ALAM – Khidmat sokongan yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19 perlu dimaksimumkan sebagai solusi meredakan emosi rakyat ketika ini.
Pakar Sosiologi, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, mungkin ada medium yang disediakan kerajaan atau swasta tidak sampai kepada pengetahuan masyarakat menjadikan mereka lebih tertekan.
"Masyarakat wajar menggunakan medium yang disediakan kerana sebarang bantuan tidak akan mendatangkan kesan jika tidak diambil langkah yang proaktif.
"Kita juga mohon kerajaan menggunakan pelbagai agensi yang ada bagi menguar-uarkan pelan bantuan untuk disalurkan kepada masyarakat yang terjejas termasuk memaksimumkan penggunaan medium media sosial,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Beliau pada masa sama mengajak masyarakat berfikir secara mendalam walaupun tertekan dengan keadaan semasa khususnya di ambang perayaan Aidilfitri.
Ujarnya, setiap individu wajar meletakkan agenda memutuskan rantaian Covid-19 sebagai matlamat utama dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
"Kita tidak mahu situasi di India berlaku di sini. Masyarakat yang waras akan sanggup berkorban. Antara keselamatan dan keseronokan, perlu dibuat pertimbangan sewajarnya.
"Kita harap dapat merayakan Aidilfitri dengan lebih sempurna pada tahun-tahun akan datang. Perayaan akan datang setiap tahun tapi penting untuk kita dapat bebas daripada pandemik ini ketika ini,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca