BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Rizal Ali Naizali tidak sepatutnya ‘lari’ daripada masalah dengan meletakkan jawatan pada ketika skuad The Bos Gaurus itu dibelenggu dengan masalah tunggakan gaji.
Bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali berkata, tindakan Rizal Ali itu hanya akan menambahkan lagi sengsara kelab berkenaan yang sedang bergelut untuk menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain dan pegawai mereka.
"Saya rasa ini satu penganiayaan kepada pemain dan peminat bola sepak Perak. Sepatutnya dia meletakkan jawatan selepas menyelesaikan segala masalah yang sudah berlaku. Itu yang terbaik dan barulah orang akan hormati dia.
"Bukan ketika pasukan masih dalam masalah sebegini dan dia lari daripada masalah. Ini tidak sepatutnya berlaku. Sekarang ini siapa yang akan bertanggunjawab untuk menguruskan masalah ini.
"Saya cukup kecewa dengan masalah yang berlaku seperti ini apatah lagi Perak merupakan antara nama besar dalam kancah liga bola sepak Malaysia sejak berpuluh tahun dahulu,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Terdahulu, Rizal Ali mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa pada Isnin bagi membolehkan individu lain menerajui pengurusan kelab dari utara tanah air itu yang sarat dengan sejarah.
ARTIKEL BERKAITAN: CEO Perak FC letak jawatan
Situasi itu sekali gus mengundang kemarahan terutama dalam kalangan peminat dan penyokong yang mendakwa Rizal Ali seolah-olah mahu melepaskan tangan dengan kemelut yang sedang melanda Perak FC.
Malah, ada juga dalam kalangan mereka berpendapat sudah sampai masanya Rizal Ali yang pernah menjadi pengurus skuad Piala Presiden Perak serta PKNP FC melepaskan jawatannya ekoran masalah dalaman Perak FC.
"Semua pihak dalam Perak FC dan PAFA (Persatuan Bola Sepak Perak) kena duduk berbincang, mungkin melakukan potongan gaji dalam keadaan pandemik ini. Lebih baik dapat separuh gaji daripada tak dapat langsung,” ujar Khalid.
Dalam masa sama, Khalid mengharapkan campur tangan atau tindakan proaktif boleh dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dalam menangani kes seperti yang dihadapi Perak FC.
"Kes tunggakan gaji ini bukan perkara baharu. Banyak kali dah berlaku, jadi apa tindakan yang boleh dilakukan FAM dan MFL selaku badan yang menguruskan bola sepak di negara ini?
"Apabila kes seperti ini berlaku, biasanya hanya akan ada pemotongan mata. Sampai bila pun isu sebegini tak selesai. Carilah pendekatan lebih berkesan daripada potong mata,” tegasnya
Klik di sini untuk terus membaca