MERAK Jalanan gembira apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menetapkan harga daging tempatan pada kadar RM34 mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021.
Dapatlah rakyat Malaysia makan daging pada harga yang lebih rendah menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.
Tetapi beberapa hari sebelum itu, sesak nafas juga apabila terdapat laporan mengenai permintaan penternak dan peniaga daging yang mahu menjual daging tempatan pada harga siling lebih tinggi daripada yang ditetapkan oleh kerajaan.
Ini kerana mereka mendakwa harga siling RM34 sekilogram yang ditetapkan dalam SHMMP adalah harga kos yang menyebabkan peniaga kerugian.
Menurut penternak dan peniaga, harga siling yang sesuai pada masa ini ialah antara RM38 hingga RM42 sekilogram.
Sinar Harian sebelum ini pernah melaporkan keluhan para penternak yang sebelum ini mengatakan harga bahan makanan untuk haiwan tersebut meningkat tinggi sejak lebih enam bulan lalu.
Mereka meramalkan harga daging boleh mencecah sehingga RM52 sekilogram.
Masalah harga makanan yang tinggi itu nampaknya masih belum selesai sampai sekarang, tetapi harga jualan daging berjaya diturunkan menerusi pelaksanaan SHMMP.
Timbul suara sinis yang mempersoalkan bagaimana kementerian boleh menurunkan harga daging tetapi masih gagal untuk menurunkan harga makanan haiwan tersebut yang sudah lama berlarutan.
Merak Jalanan berharap isu harga daging perlu jadi perhatian penting kerana sebagai pengguna, kita mahu agar harga daging terus kekal rendah dan mampu beli.
Klik di sini untuk terus membaca