KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti banyak laluan tikus di seluruh negara yang cuba digunakan orang ramai untuk rentas daerah atau negeri pada musim perayaan ini.
Bagaimanapun, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Abd Rahim Jaafar memaklumkan lokasi itu tidak boleh didedahkan.
"Apa yang saya boleh katakan ada banyak laluan tikus.
"Kita tidak dapat cover (kawal) semua tempat sekali gus dan sebab itu laluan-laluan itu diletakkan penghadang batu dan kawat duri bagi mengelakkan penduduk rentas tanpa kebenaran,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, sekiranya ada individu yang cuba rentas tanpa kebenaran, pihaknya akan mengambil tindakan melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah.
Tegas beliau, sekiranya didapati individu terlibat melakukan kesalahan, tindakan kompaun akan dikenakan berdasarkan peruntukan undang-undang yang ada.
"Kita tahu ada banyak laluan tikus. Kita minta orang ramai faham disebabkan keadaan genting dalam negara yang dilanda wabak Covid-19 dan bersama kita untuk memutuskan rantaian wabak itu.
"Kita amat bimbang, jika masyarakat terus ingkar, keadaan dan situasi Covid-19 hari ini akan semakin parah,” katanya.
Abd Rahim berkata, tujuan sekatan itu dilakukan bukanlah untuk menyusahkan orang ramai, sebaliknya untuk mengelak penularan pandemik Covid-19.
"Jika orang ramai bertindak sedemikian (guna jalan tikus), ia perkara yang tidak boleh diterima. Kita bukan cuba susahkan orang ramai.
"Prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN) sudah menyatakan agar orang ramai tidak rentas daerah atau negeri,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca