HAMPA dan kecewa. Itulah yang dirasakan oleh lebih 200 peniaga di bazar sekitar Perak kerana operasi perniagaan mereka terpaksa ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri. Kenyataan... Klik di sini untuk terus membaca

HAMPA dan kecewa. Itulah yang dirasakan oleh lebih 200 peniaga di bazar sekitar Perak kerana operasi perniagaan mereka terpaksa ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung penutupan semua bazar Ramadan dan Aidilfitri di kawasan PKP adalah bagi membendung penularan jangkitan Covid-19.

Pada awalnya, bazar-bazar ini boleh beroperasi dengan pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehinggalah menerima kenyataan terbaharu itu Ahad lalu.

Kenyataan dan pengumuman yang dibuat beberapa kali dalam tempoh sebulan mengelirukan peniaga.

Yang terperangkap dalam suasana ‘ini boleh, itu tidak boleh’ adalah peniaga.

Ketika mereka mengharapkan pecutan akhir di hujung Ramadan untuk mencari rezeki dan meraih sedikit keuntungan akhirnya lebur.

Sebahagian besar mereka terkilan dengan arahan penutupan itu bermula Isnin lalu sedangkan pengunjung sudah ramai untuk berbelanja bagi membuat persiapan akhir menyambut ketibaan Syawal.

Rata-rata peniaga mengeluarkan modal lebih puluhan ribu ringgit malah mencecah ratusan ribu untuk menjual pakaian, kuih dan sebagainya untuk gerai mereka.

Bukan setakat barangan, perbelanjaan lain seperti sewa tapak, sewa lori, gaji pekerja serta kelengkapan lain turut hangus dalam mencari pendapatan di bulan Ramadan.

Peniaga mengakui tempoh dua hari menjelang perayaan Aidilfitri adalah masa kepada peniaga kecil mencari pendapatan lebih daripada hasil keuntungan perniagaan.

Akur arahan

Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Perak, Asmadi Teh menjelaskan, emosi lebih 40 peniaga di bawahnya tidak stabil dan tertekan dengan keadaan itu.

Katanya, mereka reda dengan keadaan itu tetapi pada masa sama, mereka memikirkan barangan yang tidak terjual. Alternatif lain untuk menjual dalam talian pada waktu ini adalah sangat suntuk.

Peniaga akur dengan arahan yang dikeluarkan kerajaan untuk menutup operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri berikutan keadaan jangkitan semasa pandemik Covid-19 yang semakin meningkat tetapi terpaksa menanggung kos.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin mengakui lebih 90 peratus peniaga-peniaga mematuhi SOP sejak hari pertama ia dibuka.

Menjadi kebimbangan ketika itu adalah kehadiran pengunjung. Sikap pengunjung yang sambil lewa dalam pematuhan SOP dan tidak berpuas hati apabila ditegur akhirnya memberi kesan kepada peniaga.

Polis Perak mendedahkan 11 individu yang mengunjungi bazar Ramadan dikompaun RM2,000.

Sembilan daripada mereka dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka manakala dua lagi gagal menulis nama atau mengimbas kod QR MySejahtera.

Peraturan kecil gagal dipatuhi telah memberi kesan besar kepada semua pihak.

Dalam membantu rakyat mengharungi kehidupan, kerajaan diharapkan dapat memberi bantuan terutama kewangan kepada peniaga yang terkesan dengan arahan penutupan yang mendadak itu.

Perkara lain yang boleh difikirkan adalah menyediakan kawasan khas untuk peniaga-peniaga bazar Aidilfitri untuk berniaga.

Cadangan itu membolehkan peniaga sekurang-kurangnya dapat memperoleh kembali modal dan pada masa sama, penjualan dapat dilakukan dalam keadaan terkawal.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Perak, Sharul Baha Abd Rahman pula mencadangkan kepada kerajaan untuk melaksanakan kembali moratorium bagi meringankan beban rakyat.

Pelaksanaan sekurang-kurangnya tiga bulan itu dalam tempoh terdekat dilihat dapat memberi sedikit kelegaan terutama kepada peniaga-peniaga yang dibebani dengan hutang.

Cadangan itu antara perkara yang boleh difikirkan kerajaan. Jangan hanya sayangkan sektor industri, nasib peniaga-peniaga kecil pula diabaikan.

* Noor Ainon Mohamed ialah wartawan Sinar Harian edisi Perak

Klik di sini untuk terus membaca