PRESIDEN Kesatuan Ulama Luar Negara Palestin, Sheikh Dr Nawaf Takruri pernah berkata: "Bangsa Melayu akan membebaskan Masjid al-Aqsa.”
Hujah beliau adalah berdasarkan komitmen Malaysia yang sentiasa berada di belakang Palestin dalam memperjuangkan kebebasan dan hak umat Islam tanpa kompromi.
Sheikh Nawaf berkata demikian pada Forum Antarabangsa MyAqsa 100 Tahun Musibah Balfour di Kuala Lumpur pada tahun 2017.
Sejak penghujung Ramadan lalu, dua peristiwa besar berlaku di kota al-Quds. Pertama, serangan Israel ke atas penduduk Baitulmaqdis yang datang menunaikan solat di Masjid al-Aqsa.
Menurut pertubuhan Cinta Gaza Malaysia, rejim Zionis sanggup berbuat demikian dengan hanya satu sebab iaitu untuk mengadakan upacara keagamaan mereka di dalam kawasan masjid suci umat Islam itu pada setiap 28 Ramadan.
Kedua, pengusiran penduduk di perkampungan Sheikh Jarrah yang pernah dijejak oleh Salahuddin al-Ayubi.
Selepas meletusnya Arab Spring pada 2011, negara-negara Arab yang terperdaya dengan helah Barat mula menormalisasikan hubungan dengan Israel. Sebagai balasan, negara-negara Arab terbabit didakwa dijanjikan keuntungan ekonomi seperti bantuan membina bandar raya mega di UAE.
Rakyat Palestin hari ini boleh dikatakan bersendirian mempertahankan tanah air. Mereka terpaksa melawan kereta kebal dan pesawat tempur dengan ketulan-ketulan batu ketika negara-negara Arab di sekelilingnya sudah pun menjadi rakan kepada penjajah mereka, iaitu Israel.
Negara Arab lain yang telah menjalin hubungan dengan Israel ialah Maghribi, Bahrain, Sudan selain Mesir dan Jordan.
Yang mempertahankan Palestin kini hanyalah kumpulan bersenjata seperti pejuang Hamas yang membalas bedilan roket ke Tel Aviv.
Persoalannya, betulkah orang Melayu dapat menyelamatkan Baitulmaqdis seperti yang dikatakan Sheikh Nawaf? Ketika kita masih bergelut dengan pandemik ekonomi dan Covid-19, hanya doa dan sumbangan kewangan yang mampu diberikan untuk membina semula hospital, sekolah dan rumah yang musnah.
Ada pula yang mengatakan untuk melawan Israel, kita kena kuasai teknologi dan ekonomi dahulu kerana hakikatnya, kekuatan ekonomi dan teknologilah ‘rahsia’ keangkuhan Israel dan Yahudi sedunia.
Malah, tatkala kita marah dengan serangan berdarah rejim Zionis, kita juga tanpa sedar terus menggunakan produk mereka.
Antara kejayaan besar Israel ialah mencipta Waze, perisian sistem navigasi GPS yang berjaya meraih 130 juta pengguna termasuk enam juta di Malaysia; OrCam, teknologi yang membolehkan orang buta yang mempunyai saraf mata sempurna untuk melihat semula; dan Phinergy, bateri litium yang dapat menggandakan jarak perjalanan kereta elektrik.
Walaupun penduduk Israel cuma 10 juta orang, mereka semakin menjadi gergasi inovasi dunia. Menurut laporan, mereka mempunyai tidak kurang 5,000 syarikat besar, kebanyakannya berteknologi tinggi.
Di peringkat antarabangsa, keturunan Yahudi yang berjaya dan terkenal termasuklah pengasas Microsoft, Bill Gates; pengasas Google, Larry Page; pencipta Android, Andy Rubin; pengasas Oracle, Larry Elison; pengasas Facebook, Mark Zuckerberg; pengasas Dell, Michael Dell; pengasas Starbucks, Howard Schultz; pengasas Walt Disney, Walt Disney; dan Pengasas Paypal dan SpaceX, Ellon Musk.
Perkongsian ini tidak bermakna kita berkompromi dengan keganasan Yahudi apatah lagi mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara.
Tetapi tentulah tidak salah kita mempelajari sesuatu sebagai usaha melahirkan generasi Muslim yang lebih berjaya dan mampu berjuang untuk ummah, di samping mengenali musuh umat Islam sejagat tersebut.
Bak kata ahli falsafah perang China, Sun Tzu: "Untuk menang, kenali dirimu, kenali musuhmu, kenali medan perangmu. Seribu kali kau berperang, seribu kali kau menang!”
Palestin tidak akan dapat dihancurkan.
* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca