SEPERTI Presiden-Presiden Amerika Syarikat (AS) pada masa lalu, pertempuran antara Palestin dengan Israel juga telah mengheret Presiden AS ke-46, Joe Biden ke dalam krisis yang melibatkan kedua-dua belah pihak itu.
Pertempuran tersebut meletakkan Biden berhadapan dengan situasi sukar bukan sahaja dari segi diplomatik tetapi juga di AS apabila parti Demokrat yang disertainya itu pernah mengritik beberapa tindakan Israel dengan lantang.
Sebelum ini, rejim Zionis memperoleh sokongan kuat ketika Donald Trump sehingga beliau memberikan pengiktirafan bahawa Baitulmuqadis menjadi ibu negara haram Israel.
"Tidak ada prospek tentang sebarang kejayaan akan diperoleh dalam isu ini. Anda tidak mempunyai pemimpin-pemimpin yang bersedia untuk membuat keputusan.
"Cara terbaik buat pentadbiran Biden yang boleh dicapai dalam isu ini ialah mengurangkan pertempuran tersebut," kata Aaron David Miller yang menjadi perunding AS mengenai Asia Barat dan Felo Kanan pertubuhan Pembiayaan Carnegie Untuk Keamanan Antarabangsa kepada AFP.
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan Penasihat Keselamatan Kebangsaan AS, Jake Sullivan berusaha untuk memulihkan ketenangan selepas ketegangan tercetus setelah sebuah mahkamah daerah di Baitulmaqdis mengusir keluar beberapa keluarga Palestin dari rumah mereka di Sheikh Jarrah, Baitulmaqdis Timur.
Israel menganggap Baitulmaqdis Timur sebagai sebahagian daripada ibu negara haramnya tetapi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pula menganggap Baitulmaqdis Timur dijajah oleh rejim Zionis.
Berikutan rayuan AS, Israel pada Ahad lalu menangguhkan pendengaran rayuan daripada beberapa keluarga Palestin yang sepatutnya dibuat pada Isnin lalu tentang arahan pengusiran yang telah dibuat pada awal tahun lalu oleh mahkamah daerah itu.
Bagaimanapun, anggota-anggota polis telah bertempur dengan para penunjuk perasaan Palestin dalam satu siri tunjuk perasaan yang membantah arahan pengusiran tersebut di pekarangan Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis Timur pada hari-hati terakhir Ramadan baru-baru ini.
Ratusan penduduk Palestin cedera dalam kejadian itu manakala Hamas yang mentadbir Gaza memberikan kata dua kepada Israel supaya mengundurkan anggota-anggota polis dari Masjid Al-Aqsa yang merupakan tempat ketiga paling suci dalam agama Islam pada hari Isnin lalu.
Namun, rejim Zionis tidak mempedulikan kata dua tersebut menyebabkan anggota-anggota Hamas melancarkan serangan-serangan roket ke arah Israel sebelum tentera Yahudi itu melancarkan serangan udara yang sehingga kini menyebabkan lebih 100 penduduk Palestin terkorban.
Kuil Gunung atau Temple Mount yang berbentuk segi empat dan empat buah dinding di bahagian tenggara Kota Lama Baitulmaqdis yang terletak di pekarangan Masjid Al-Aqsa juga adalah tempat suci bagi agama Yahudi.
Sejak Isnin lalu, Tentera Israel melancarkan serangan-serangan udara ke atas beberapa sasaran Hamas dengan menggunakan jet-jet pejuang dan helikopter yang menyebabkan beberapa komander kanan Hamas gugur dalam medan pertempuran termasuk penduduk biasa Palestin.
Menurut AFP, beberapa Presiden AS sebelum ini telah cuba untuk menyelesaikan masalah di Asia Barat ketika mereka baharu mentadbir negara tersebut.
Bagaimanapun, pentadbiran Biden dilihat tidak tergesa-gesa untuk menjadi pencetus perdamaian antara Palestin dengan Israel ketika Benjamin Netanyahu masih menjadi Perdana Menteri sementara selepas keputusan pilihan raya umum di Israel pada Mac lalu menunjukkan pakatan politiknya gagal mendapat majoriti di Parlimen.
Ketika sesi pendengaran untuk mengesahkan jawatan Setiausaha Negara AS di Dewan Senat pada Januari lalu, Blinken menyokong usaha-usaha bagi mewujudkan sebuah negara Palestin yang merdeka tetapi beliau berkata, secara realitinya adalah sukar melihat penubuhan negara itu dibuat dalam tempoh terdekat.
Semasa pemerintahan Trump, beliau membuang sikap berpura-pura AS yang tidak menyebelahi mana-mana pihak apabila memenuhi beberapa hasrat Netanyahu termasuk mengiktiraf Baitulmuqadis sebagai ibu negara haram Israel.
Ketika hari-hari terakhir menjadi Presiden AS, Trump menyokong rancangan menantunya merangkap penasihatnya, Jared Kushner tentang cadangan meluaskan lagi pemilikan paksa Israel ke atas beberapa kawasan di Tebing Barat sebagai pertukaran untuk Palestin menerima wang daripada negara-negara Arab yang kaya selain mendapatkan sebuah negara kecil dan merdeka serta mempunyai sebuah ibu negara di pinggir Baitulmaqdis.
Lebih mengejutkan Trump juga berjaya mendapatkan pengiktirafan daripada Emiriah Arab Bersatu (UAS), Bahrain, Maghribi dan Sudan untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel pada tahun lalu.
Senator Bernie Sanders yang pernah bersaing dengan Biden untuk merebut pencalonan sebagai calon Presiden AS pernah berkata, AS perlu menyatakan dengan tegas bahawa ia menentang keganasan yang dilakukan oleh Israel.
Satu rang undang-undang yang disokong oleh anggota-anggota parti yang disertai Biden iaitu Demokrat pada bulan lalu telah melarang sebarang bantuan diberikan oleh AS bagi menyokong pertambahan kawasan peneroka haram Yahudi, merobohkan rumah penduduk Palestin atau menahan kanak-kanak Palestin termasuk di Baitulmaqdis.
Pada Selasa lalu, agensi berita Anadolu Agency melaporkan, Sanders berkata, AS perlu membuat desakan supaya gencatan senjata diadakan selain menamatkan aktiviti haram peneroka haram Yahudi.
"Dan kita (AS) perlu membuat komitmen untuk bekerjasama dengan Israel dan Palestin untuk menamatkan konflik ini (pertempuran antara rejim Zionis dengan Palestin)," katanya seperti dilaporkan oleh agensi berita itu. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca