KEMELUT tunggakan gaji yang melanda kelab Perak FC ketika ini dipercayai berlaku akibat kegagalan dalam aspek pengurusan sumber manusia.
Pendapat itu disuarakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang percaya kegagalan dalam aspek pengurusan berkenaan boleh memberikan impak kepada struktur kelab secara keseluruhannya.
"Sebenarnya kemelut ini lebih kepada bagaimana untuk mengurus manusia. Dalam soal ini, pemain itu adalah manusia dan kalau tidak diurus dengan betul atau tidak diurus dengan lebih awal inilah jadinya.
"Sebenarnya manusia itu boleh dibawa berunding, boleh berbincang. Tetapi kalau sudah tidak libatkan mereka dalam perbincangan, akhirnya beginilah jadinya,"
"Saya tak pasti jika pengurusan Perak FC ada buat perbincangan atau rundingan bersama pemain, tetapi jika dahulu memang kita akan panggil pemain yang lebih senior, beri penerangan dan mereka ini akan terangkan pula kepada pemain-pemain lain terutamanya pemain muda,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.
Tambah Zainol Fadzi, berdasarkan kepada pengalamannya selaku Presiden PAFA bagi musim 2010 hingga 2015, isu-isu dalaman seperti tunggakan gaji agak jarang tersebar berbanding hari ini.
Katanya, pada ketika itu memang wujud masalah tunggakan gaji malah ada yang berlarutan sehingga enam bulan, namun semuanya berjaya diuruskan dengan baik.
"Selain itu, saya juga tahu ketika Perak FC diambil alih telah sedia ada tunggakan gaji, perkara sama juga berlaku pada zaman saya.
"Tetapi nak salahkan pengurusan lama pun tak boleh juga, sebab kita memang kena hadapi benda-benda macam ni paling penting kena cari jalan penyelesaian.
"Kalau dah sampai buat ugutan, boikot latihan ia adalah sesuatu yang perlu diberikan perhatian; kena berjumpa dengan pemain, berunding, kalau tak berunding macam mana nak cari jalan penyelesaian?,” katanya.
Isu berkenaan berkenaan juga dipercayai telah menyebabkan Perak FC kehilangan beberapa pemain tonggak seperti Shahrul Saad dan Guilherme De Paula yang berhijrah ke Johor Darul Ta'zim (JDT) selain J Partiban dan Kenny Pallraj (Kuala Lumpur City FC).
Dalam pada itu, penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy pula mengesahkan telah dilamar oleh tiga kelab yang beraksi dalam Liga Super pada musim ini, masing-masing dari pantai timur, Lembah Klang dan selatan tanah air.
Sementara itu, bekas pemain Perak, Khalid Jamlus berkata, kemelut tunggakan gaji seperti ini pernah dilaluinya ketika masih beraksi bersama skuad Seladang.
Menurut Khalid, tunggakan gaji berkenaan berlaku pada musim 2008 pada ketika itu Perak turut beraksi dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
"Tunggakan gaji ni pernah berlaku suatu ketika dahulu, namun akhirnya ia berjaya diselesaikan dengan baik. Dalam situasi Perak pada ketika ini adalah diharapkan pengurusan dapat menyelesaikan tunggakan gaji ini demi kebaikan bersama,” katanya kepada Sukan Sinar.
Klik di sini untuk terus membaca