PIHAK pengurusan kelab serta pemain yang beraksi dalam saingan Liga M3 musim ini digesa mengadakan perbincangan khususnya melibatkan bayaran gaji berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mulai 12 Mei hingga 7 Jun depan.
Perkara itu ditegaskan oleh Pengerusi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Datuk Mohd Yusoff Mahadi yang turut mengharapkan pelaksanaan PKP 3.0 kali ini tidak memberikan masalah kepada persiapan kelab-kelab yang bertanding kali ini.
"Pemain amatur ni tak ada kontrak, sebab bukan mereka bukannya pemain cuma mungkin ada kelab yang membayar imbuhan, elaun atau dalam bahasa biasa kita sebut gaji. Cuma jumlah gaji mereka kali tidaklah besar seperti pemain profesional lain di negara ini terutamanya bagi saingan Liga Super atau Liga Premier.
"Tetapi dalam keadaan PKP, kita minta kalau ada berlaku perkara macam tu, kelab kena bincang dengan pemain. Lagi pun situasi sekarang memang di luar jangka.
"Oleh itu kita harapkan agar kedua-dua pihak pemain dan majikan (kelab) dapat mengadakan perbincangan dan seterusnya mencari penyelesaian terbaik menangani perkara ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.
Dalam kenyataan media pada Sabtu, AFL menunda saingan Liga M3 yang dijadualkan berlangsung mulai 4 Jun depan ke tarikh baharu yang akan diumumkan kelak susulan pelaksanaan PKP 3.0 di seluruh negara ketika ini.
Sementara itu, Mohd Yusoff mengakui kebanyakan pemain Liga M3 sebenarnya bekerja dan hanya beraksi pada perlawanan-perlawanan yang dilangsungkan pada hujung minggu.
Bagaimanapun pihaknya percaya, pihak majikan serta pemain pastinya telah mewujudkan komitmen masing-masing, terutamanya melibatkan soal gaji.
"Walaupun mereka ini bermain bola sepak secara ‘part-time’ kita pasti telah ada komitmen antara antara mereka dan pihak majikan (kelab) berhubung soal gaji dan kita harap semuanya berjalan lancar tanpa masalah,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca