HASRAT mengadakan sambutan Hari Guru peringkat kebangsaan mula disuarakan pada tahun 1944 oleh Matlye Whyte Woodridge, seorang guru di Arkansas, Amerika Syarikat.
Beliau merintis usaha menghubungi pemimpin politik dan tokoh pendidikan memohon supaya diabadikan satu hari setiap tahun sebagai tanda pengiktirafan terhadap profesion guru.
Suara tersebut adalah antara suara yang digemakan supaya penghormatan terhadap guru diabadikan secara lebih formal dan struktural.
Malaysia telah memilih 16 Mei sebagai tarikh sambutan Hari Guru. Tarikh tersebut dipilih mengambil peringatan tarikh penyerahan Laporan Razak yang mengandungi cadangan-cadangan daripada Jawatankuasa Pelajaran kepada Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu.
Laporan Razak telah dijadikan Dasar Pelajaran negara ini. Sambutan pertama bertemakan ‘Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara’ telah diadakan pada 16 Mei 1972.
Sebenarnya rasa hormat terhadap guru adalah satu lumrah semulajadi yang telah sedia tersemai di hati insan yang mempunyai akal budi serta budaya berterima kasih.
Pada asalnya profesion guru tumbuh dan membesar dalam alam agama, lantas memenuhi tanggungjawab yang difitrahkan untuk memenuhi seruan tuhan.
Para guru ketika itu dilihat sebagai insan suci berhati murni, dihormati dengan penuh kemuliaan, dianggap memiliki hubungan luhur dengan tuhan, dipercayai mempunyai keistimewaan luar biasa juga memiliki kuasa kesaktian.
Kata-kata seorang guru, terutama dalam bentuk mantera, digambar bagaikan air jernih yang mengalir dari gunung-gunung yang tinggi, melimpahkan rahmat, membawa kesuburan ke setiap pelosok lembah ia mengalir.
Islam meletakkan ilmu pengetahuan sebagai asas utama kehidupan dan landasan untuk mencapai kejayaan. Tanpa ilmu pengetahuan, negara dan warga akan mundur dan akan ketinggalan.
Ilmu itu berlegar dalam orbit yang amat luas, singgah dan bermastautin daripada minda ke minda melalui perantaraan.Guru ialah perantara yang menyempurnakan amanah untuk menyampai, memanjang dan mengembangkan ilmu.
Imam al-Ghazali menegaskan, orang-orang yang bertanggungjawab dalam lapangan ilmu pengetahuan melaksanakan tanggungjawab yang serupa dengan orang-orang yang bertanggungjawab di benteng-benteng pertahanan dan orang-orang yang berjihad fisabilillah.
Para guru merupakan murabbi, pendakwah yang diiktiraf sangat mulia di sisi agama dan masyarakat. Mereka mewarisi tugas-tugas para Rasul, mengambil tanggungjawab membimbing manusia ke jalan kebenaran dan membentuk tamadun manusia melalui pendidikan dan penyebaran ilmu.
Guru memenuhi peranan mengajar dan mendidik, menyampaikan pengetahuan dan mengembangkan ilmu; guru merupakan pengajar dan pengasuh, baik secara perkataan begitu juga secara perlakuan yang dijadikan ikutan, panduan dan pegangan.
Guru ialah insan berilmu, memiliki kemuliaan, dijamin ALLAH ketinggian martabatnya. Firman ALLAH SWT dalam surah al-Mujadalah ayat 11 bermaksud:
"ALLAH meninggikan kedudukan orang yang beriman di antara kamu, dan juga orang yang diberi ilmu pengetahuan (dalam kalangan kamu) beberapa darjat. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Mendalam Pengetahuan Nya tentang apa yang kamu lakukan.”
Anas bin Malik RA meriwayatkan betapa besarnya peranan guru yang diibaratkan bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk jalan – menerangi laluan, bersandarkan sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Sesungguhnya perumpamaan orang yang berilmu pengetahuan di muka bumi ini seperti bintang-bintang di langit yang menjadi petunjuk dan menerangi dalam kegelapan, sama ada di daratan mahupun di lautan, apabila ia terbenam atau hilang, dikhuatiri akan hilang arah tujuan” [Riwayat Imam Ahmad]Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya’ Ulumuddin memetik sabda Rasulullah bermaksud:
"Bahawa ALLAH SWT, malaikat-malaikat, isi langit dan bumi, sampai kepada semut di dalam lubang dan ikan di laut, semuanya berdoa kebajikan kepada orang yang mengajarkan manusia”. [Dirawikan oleh al-Tirmizi dari Abi Amamah]
Guru berperanan penting dalam kehidupan insan. Negara cemerlang terhasil daripada umat cemerlang; umat cemerlang terhasil daripada keluarga cemerlang; keluarga cemerlang terhasil daripada insan cemerlang; dan insan cemerlang terhasil daripada didikan cemerlang warga guru.
Sempena sambutan Hari Guru tahun 1979, Sasterawan Negara Usman Awang (Allahyarham) yang melihat guru daripada pancaran mata hati, menyusun kata-kata pujangga yang cantik, dalam bahasa tersangat indah, mendedikasikannya kepada masyarakat guru, antara bait-bait tersebut berbunyi;
"Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca
Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di ibu kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara
Panggilan keramat ‘Cik Gu’ kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat”.
Seorang lagi Sasterawan Negara, A. Samad Said dalam puisi berjodol ‘Obor Hemah’ yang dihasilkan pada tahun 1988, menyanjung keluhuran dan kemuliaan guru melalui bait-bait berikut:
"Guru adalah awam indah terbang rendah
Melimpahkan hujan pada musim gersang
Menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah
Ia renjis embun pada tanah bakat...
Guru adalah penelaah yang tekun
Mewariskan dunia sebagai kutubkhanah
Menyediakan kutubkhanah sebagai dunia...
Guru adalah batin suci hati nurani
Penjunjung budi, manusia yang takwa
Obor hemah kehidupan bangsa”, Guru sewajibnya dihormati, guru sewajibnya dihargai. Luqman al-Hakim menasihati anaknya untuk menghormati guru dengan kata-kata;
"Wahai anak ku, pergauli para guru dan rapati mereka dengan kedua-dua lutut mu, kerana ALLAH SWT menghidupkan hati dengan nur hikmah, sebagaimana ALLAH menghidupkan bumi dengan hujan dari langit ”
Sebaik-baik kitab bagi seorang murid ialah gurunya; guru ialah pusat kepada pendidikan, bertanggungjawab mencanai minda pelajar, memberikan inspirasi dan motivasi memungkinkan anak-anak didik mencapai kejayaan dan mencipta kecemerlangan dalam pelbagai bidang pekerjaan.
Guru yang hebat berupaya memancarkan visi dan misi; guru yang hebat berupaya menggerakkan hati, meniupkan semangat dan mencetuskan gerakan; guru yang hebat memiliki watak yang berupaya menerokai lapisan-lapisan potensi yang terselindung dalam diri setiap anak pelajar; guru yang hebat akan berusaha mencungkil setiap bakat demi memastikan kejayaan anak didik mereka; guru yang hebat memiliki kombinasi sifat-sifat pendidik, kreatif, inovator dan komunikator, diperkukuhkan dengan keperibadian yang menawan dan rasa sayang yang bersedia menaburkan muridnya dengan bunga kasih yang semerbak mewangi.
Para guru membekalkan kompas agar para pelajar berupaya menakhodai destinasi hidup, para guru ialah arkitek masyarakat dan para guru ialah jurutera sosial membantu usaha membina masa hadapan sebuah negara bangsa yang gemilang.
Lebih berkesan peranan guru di sekolah, akan kuranglah bilangan Mat Rempit di jalan raya, akan turunlah angka jenayah di dalam negara, akan rendahlah jumlah penghuni di dalam penjara.
Lebih berkesan peranan guru di sekolah, akan lebih imarahlah masjid, akan lebih harmoni hidup warga, akan lebih tenteramlah negara.
Sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei bersamaan 4 Syawal, hargailah guru-guru yang begitu besar jasa mereka dalam hidup kita.
Tunjukkan adab berterima kasih seorang murid dengan menyampaikan ucapan penghargaan kepada guru-guru kita, sama ada dengan menghantar sepiring kuih, segenggam beras, sehelai pelekat atau sehelai selendang.
Jadikan amalan harian menghadiahkan bacaan Surah al-Fatihah mendoakan kesejahteraan guru-guru kita baik kepada yang masih hidup, lebih-lebih lagi kepada mereka yang telah kembali ke Rahmatullah.
Semoga segala pengorbanan dan khidmat murni para guru, diterima oleh ALLAH SWT sebagai amal makruf yang dikurniakan keberkatan semasa di dunia, dilimpahkan rahmat keselesaan ketika di alam barzakh dan diberatkan timbangan amal ketika di Padang Mahsyar.
* Datuk Seri Mohd. Annuar Zaini ialah Ahli Dewan Negara Perak
Klik di sini untuk terus membaca