NIKMAT dan rezeki ALLAH SWT sangat luas. Jiran yang baik juga adalah rezeki yang perlu disyukuri walau apa juga bangsa dan agamanya.
Menyambut Hari Raya Aidilfitri untuk tahun kedua berturut-turut di ibu kota kerana tak dapat pulang ke kampung halaman disebabkan Covid-19 sedikit sebanyak terubat apabila dikelilingi jiran-jiran yang baik hati.
Jiran kiri dan kanan, jiran di bawah, jiran berlainan blok sama ada Melayu, Cina mahupun India, saling menyokong antara satu sama lain. Terharu sungguh Merak Jalanan.
Uncle Peter misalnya, walaupun berbangsa India, beliau tetap berikan duit raya untuk anak-anak. Auntie Collin pula bermurah hati belanja bunga api.
Cikgu Faridah sentiasa ada masa untuk memasak makanan yang sedap-sedap.
Malah, walaupun Aidilfitri sudah melewati hari kesembilan, masih ada jiran yang baik hati menghulurkan pelbagai makanan untuk dinikmati.
Tujuan mereka hanya mahu menceriakan anak-anak yang pasti merindui atuk dan nenek di kampung halaman.
Sudahlah tak dapat balik ke kampung, tak dapat pula nak jalan-jalan disebabkan PKP, maka terperap sahajalah di rumah memandang sesama sendiri.
Jangan bimbang, SOP Aidilfitri tetap dijaga. Duit raya hanya diselitkan di bawah pintu. Bunga api dan makanan diletakkan di muka pintu.
Tiada sentuhan, tiada sembang dekat, tiada kunjung-mengunjung.
Begitulah patuhnya kami kepada arahan tapi itu pun masih ada segelintir manusia yang begitu angkuh tidak menghiraukan SOP.
Kesimpulannya, jagalah hubungan sesama jiran. Selain keluarga, jiran juga adalah watak penting dalam kehidupan kita.
Jika tidak mampu berbuat baik dengan memberi bantuan, jagalah kata-kata dan perbuatan kita. Jangan sampai menyakiti hati jiran.
Dalam kita mengharapkan jiran yang baik, pastikan diri sendiri menjadi jiran yang baik kepada orang lain.
Klik di sini untuk terus membaca