SHAH ALAM - Bertugas sebagai jururawat di wad Covid-19 di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban, menjaga dan mengendalikan pesakit dengan virus maut bukanlah sesuatu yang asing bagi Mohd Firdaus Mohd Yusop, 32.
Namun, tanpa diduga pada November tahun lalu, dia pula menjadi pesakit yang perlu dirawat di wad tersebut selepas disahkan positif ekoran mempunyai simptom demam.
"Pada awalnya saya mengalami simptom seakan demam. Sebagai langkah berjaga-jaga saya menjalani ujian saringan.
"Malangnya daripada 12 jururawat di wad yang menjalani saringan, saya seorang sahaja yang disahkan positif. Saya tertanya-tanya mengapa saya seorang kena. Mungkin ALLAH mahu uji saya,” kata jururawat itu yang kini berkhidmat di Hospital Melaka sejak awal tahun lalu.
Beliau yang tidak menyangka dijangkiti berkata, isteri dan tiga anaknya yang berusia antara enam bulan hingga tujuh tahun juga terpaksa menjalani ujian swab sebanyak tiga kali.
"Kita yang dewasa pun boleh mengalir air mata apatah lagi bayi yang terpaksa menjalani ujian swab,” katanya.
Menurut Mohd Firdaus, setelah disahkan positif, dia dimasukkan ke Hospital Rembau selama empat hari namun masih tetap mengalami demam dengan suhu tinggi mencecah 39 ke 40 darjah celcius.
"Saya kemudian dirujuk semula ke HTJ dan akhirnya ditempatkan dalam wad Covid-19 di mana saya bekerja sebelum itu,” katanya.
Ujar Mohd Firdaus, setelah memulakan rawatan di wad terbabit demamnya mulai kebah dan setelah 25 hari dia akhirnya dibenarkan keluar dari hospital.
"Semasa berada di hospital saya risau memikirkan tentang anak-anak yang terpaksa menjalani ujian swab, pasti mereka sakit dan menangis. Mujur mereka negatif.
"Keduanya, isteri saya terpaksa menguruskan tiga orang anak bersendirian tanpa saya, keluarganya berada di Pulau Pinang manakala keluarga saya di Melaka.
"Mahu menguruskan masa, ditambah terpaksa menjalani ujian swab diikuti tempoh kuarantin, susah untuk membeli barang keperluan seperti susu dan lampin untuk bayi,” ujar Mohd Firdaus sedih.
Dengan linangan air mata, Mohd Firdaus bercerita betapa dia mengagumi kecekalan isterinya yang juga seorang jururawat dalam menguruskan kehidupan anak-anak.
"Hanya sesekali isteri mengadu penat apabila menguruskan persekolahan anak sulung. Dengan waktu kerja mengikut syif, isteri saya kurang masa untuk berehat,” kata Mohd Firdaus.
Kata Mohd Firdaus, walaupun pernah bergelar pesakit Covid-19 ia tidak menggugat semangatnya sebagai seorang petugas barisan hadapan malahan anak muda itu turut sedia jika diminta kembali berkhidmat di wad Covid-19.
Klik di sini untuk terus membaca