BELALANG tidak suka merentas negeri tanpa sebab walaupun memiliki lesen besar iaitu sayap yang membolehkan Belalang terbang ke sana sini dengan bebas.
Bukan apa, Belalang pun tahu undang-undang dan peraturan lebih-lebih lagi pada waktu PKP ni.
Lagipun dalam keadaan hampir seluruh Semenanjung sudah menjadi zon merah, Belalang juga bimbang dengan wabak Covid-19 yang tak reda-reda lagi.
Namun begitu, apa yang sedang heboh diperkatakan di Negeri Sembilan sekarang membuatkan Belalang ingin tahu dengan lebih mendalam apakah cerita di sebalik kekecohan selebriti terkenal Neelofa dan suaminya, Riz.
Ini bukan kerana kes mereka yang sedang dibicarakan di Mahkamah Majistret Seremban 2 Khamis lalu. Itu kita sudah tidak boleh ulas dan kupas kerana ia telah menjadi kes mahkamah.
Ini adalah isu berkaitan apa yang berlaku di pekarangan mahkamah, bukan di dalam mahkamah.
Belalang tanya: "Hai! Apa yang terjadi di luar mahkamah sehingga mencuri perhatian ramai?
"Kenapa? Isu Lofa tak pakai pelitup muka ke? "tanya Belalang kembali.
Tapi kawan Belalang cakap bukan itu isunya.
"Habis tu apa? Cakaplah apa yang tak kena lagi? Kalau publisiti yang Lofa cari, itu dia dah dapat. Jadi apa?”
Jawab kawan Belalang, isunya adalah bagaimana Lofa dan suaminya berjaya ‘diseludup’ masuk sampai ke pekarangan mahkamah dengan kenderaan mereka sendiri.
"Ada masalah ke kalau sekalipun mereka dibenarkan memandu masuk sehingga ke dalam pekarangan mahkamah?” tanya Belalang semula.
Dan ini jawapan yang Belalang dapat;
"Ia menjadi isu kerana sejak pandemik Covid-19, pihak mahkamah telah mengeluarkan notis hanya kakitangan mahkamah, pihak polis dan pendakwa raya serta hakim sahaja yang dibenarkan memandu masuk ke pekarangan kompleks mahkamah.
"Para peguam termasuk peguam-peguam kanan juga tidak terkecuali dan terpaksa meletakkan kenderaan mereka di luar kawasan pagar mahkamah tidak kira semasa hujan atau panas.
Sehubungan itu, Belalang ditunjukkan sepucuk surat bantahan yang ditulis oleh peguam-peguam kanan kepada Majlis Peguam Negeri Sembilan mengadu tentang cara peguam Lofa ‘menyeludup’ masuk anak guamnya itu ke pekarangan mahkamah menggunakan kereta Lofa.
Ia seolah-olah Lofa dan suaminya tiba-tiba mendapat layanan istimewa dan dibenarkan memandu masuk ke dalam kawasan pekarangan mahkamah, sedangkan peguam-peguam terpaksa mengepit fail bertimbun-timbun berjalan masuk keluar mahkamah. Begitu juga dengan orang ramai.
Mereka tertanya-tanya bagaimana dan mengapakah Lofa dan suaminya mendapat keistimewaan – lebih istimewa daripada para peguam yang bertugas setiap hari di mahkamah.
Malah, Lofa dan suaminya berjaya meloloskan diri menggunakan kereta sendiri masuk ke kawasan mahkamah, sedangkan orang lain tidak boleh.
Mereka mahu Majlis Peguam bertindak menegur pihak yang mengendalikan kes Lofa dan suaminya, dan jika amaran ini gagal disampaikan, para peguam yang membantah ini akan membawa perkara ini kepada Ketua Hakim Negara.
Kini Lofa bukan sahaja mendapat perhatian daripada para netizen, malah turut mengheret para peguam kanan di Negeri Sembilan untuk turut sama terpalit dalam kancah kontroversi hasil daripada tindak-tanduknya.
Belalang - Nampaknya, apa sahaja yang disentuh Lofa menjadi hangat.
Klik di sini untuk terus membaca