SHAH ALAM - Rakyat perlu lebih berdisiplin dengan terus mengekalkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan peningkatan kadar kes jangkitan Covid-19 di negara ini.
Berdasarkan kes harian Covid-19 pada Sabtu, ia terus menunjukkan trend membimbangkan apabila Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan angka 6,320 kes positif.
Pakar ekonomi, Profesor Datuk Dr Barjoyai Bardai berkata, kes tersebut turut dianggarkan meningkat sehingga Jun depan dan rakyat perlu bersedia jika kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan SOP lebih ketat.
"Masalah kita adalah kita tidak tahu siapa yang mempunyai gejala. Banyak kes berlaku disebabkan oleh virus senyap. Dia tidak ada gejala, nampak sihat sama seperti orang lain. Tiba-tiba berjangkit.
"Justeru, kita perlu lebih berjaga-jaga, kawal pergaulan dan terus patuh dengan SOP yang ditetapkan KKM,” katanya kepada Sinar Ahad.Dalam pada itu, Barjoyai berkata, kerajaan perlu meneruskan bantuan kepada kumpulan yang terkesan teruk berikutan krisis Covid-19 yang kini sedang berada pada tahap kritikal.
"Misalnya dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) dianggarkan 8.5 juta yang memerlukan bantuan. Justeru, bantuan boleh diberikan sekitar RM300 hingga RM600 sebulan.
"Ini penting bagi memastikan masing-masing dapat meneruskan kelangsungan hidup terutama mereka berpendapatan rendah dan yang hilang pekerjaan ketika ini,” katanya.
Mengulas isu sama, seorang lagi pakar ekonomi, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, pelaksanaan SOP yang lebih ketat terutama pergerakan keluar masuk kenderaan juga penting bagi mengelakkan kadar jangkitan Covid-19.
"Masalah rakyat kita adalah mereka tak serius. Orang beritahu jangan keluar, mereka tetap keluar juga. Justeru, pastikan mereka tak boleh keluar masuk sesuka hati,” katanya.
Shazali berkata, beliau turut menyokong sekiranya kerajaan mengenakan jumlah kompaun lebih tinggi kepada individu yang mencetuskan virus Covid-19.
"Kalau yang langgar letak kompaun RM100,000 pun saya sokong. Pencetus-pencetus virus ini perlu dikenakan kompaun lebih tinggi.
"Rakyat pun dah letih sebab dah setahun lebih negara dilanda krisis Covid-19. Tapi ada rakyat yang masih ingkar, tak pakai pelitup muka dan tak jaga penjarakan fizikal,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat mematuhi segala saranan yang dikemukakan pihak KKM kerana nyawa itu sangat penting.
Klik di sini untuk terus membaca