SHAH ALAM - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 lebih ketat terutama dalam sektor ekonomi dan sosial nampaknya tidak menyebabkan pembelian panik berikutan rakyat sudah bersedia susulan pengalaman setelah melalui tempoh PKP... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 lebih ketat terutama dalam sektor ekonomi dan sosial nampaknya tidak menyebabkan pembelian panik berikutan rakyat sudah bersedia susulan pengalaman setelah melalui tempoh PKP sebelum ini.

Berdasarkan tinjauan Sinar Ahad di beberapa pasar raya dan kedai runcit di sekitar Shah Alam, keadaan adalah terkawal dan aktiviti jual beli berjalan lancar tanpa ada menunjukkan berlakunya pembelian panik oleh orang ramai.

Peniaga restoran, Hezrin Aini, 36, berkata, orang ramai tidak melakukan pembelian panik dalam tempoh PKP 3.0 mungkin kerana mereka sudah belajar daripada pengalaman sewaktu PKP 1.0 yang lalu.

"Dulu rakyat mungkin panik membeli barang dengan banyak kerana kurang faham dengan prosedur operasi standard (SOP) PKP. Tapi sekarang mereka sudah bersedia dan sudah bijak merancang pembelian untuk kegunaan selama tempoh PKP,” katanya kepada Sinar Ahad pada Sabtu.

Sementara itu, pengurus cawangan kedai serbaneka dikenali sebagai Naili, 31, berkata, urusan jual beli pengunjung di premisnya masih terkawal berbanding pelaksanaan perintah itu sebelum ini.

"Kalau PKP sebelum ini, pengunjung membeli barang dalam kuantiti banyak hingga menyukarkan pengunjung lain mendapatkan barang keperluan asas yang sama tetapi kali ini pembelian panik tidak berlaku di premis ini walaupun dalam tempoh PKP 3.0,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan tinjauan di sebuah pasar raya borong di Seksyen 15 di sini mendapati ramai pengunjung yang datang ke premis berkenaan pada Sabtu.

Seorang pembantu peribadi yang ingin dikenali sebagai Azida, 55, berkata, tidak timbul isu pembelian panik kerana rakyat sudah pernah merasai pengalaman tersebut.

"Rakyat tidak perlu risau kerana kita masih boleh keluar rumah untuk membeli barang keperluan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca