GABUNGAN Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mencadangkan empat strategi mudah dalam memastikan tempoh pelanggan berada di dalam pusat beli-belah kurang daripada dua jam.
Timbalan Presidennya, Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, antaranya pengguna boleh menyediakan senarai barang yang ingin dibeli terlebih dahulu sebelum ke pasar raya.
"Pembeli sepatutnya menyediakan senarai barang yang ingin dibeli, jadi dia akan terus pergi ke rak barangan yang ingin dibeli sahaja.
"Masalah yang berlaku sekarang ini apabila tiada senarai, itu punca pengguna mengambil masa untuk memikirkan barang yang hendak dibeli dan berpusing-pusing di dalam pasar raya.
"Dalam keadaan sekarang, pengguna perlu amalkan cara seperti ini untuk mengelakkan daripada berlakunya situasi berkumpul secara beramai-ramai,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Sementara itu, Mohd Yusof berkata, pasar raya perlu menyediakan kaedah ‘imbas dan bayar’ yang akan memudahkan pengguna serta pekerjanya.
"Kita boleh ambil contoh pasar raya Lotus yang menggunakan aplikasi imbas dan bayar.
"Pelanggan perlu imbas sendiri barang yang ingin dibeli di rak barangan dan kemudian apabila sampai di kaunter, akan terus buat bayaran tanpa perlu diimbas lagi.
"Kaedah pembeli persendirian (personal shopper) juga boleh diperkenalkan semula untuk memudahkan orang ramai supaya tidak bersesak-sesak mencari barang. Hanya perlu pesan dan ambil di kaunter,” ujarnya.
Pada masa sama, pengguna juga digalakkan membeli dalam talian menggunakan pelbagai platform yang ada.
Pada Ahad, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengemas kini prosedur operasi standard (SOP) sektor perdagangan pengedaran serta mengenakan beberapa sekatan berkuat kuasa pada 25 Mei 2021 di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tempoh masa pelanggan di dalam semua premis peruncitan termasuk pusat beli-belah dihadkan kepada maksimum dua jam sahaja.
Had kapasiti pekerja bagi semua premis peruncitan, pemborongan, pengedaran serta kompleks beli-belah pula dihadkan kepada 60 peratus.
Kaedah beli-belah kurang daripada 2 jam
Senaraikan barangan yang hendak dibeli
Kaedah imbas dan bayar kepada pengguna dan pekerja
Gunakan khidmat personal shopperBeli secara online
Klik di sini untuk terus membaca