SEJARAH pemilihan Presiden UMNO sejak penubuhan parti itu sememangnya penuh warna-warni.
Bermula pertembungan Presiden parti pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dengan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketiga, Chik Mohamad Yusuf pada tahun 1952 dan diikuti pertandingan antara Tun Hussein Onn-Suleiman Palestin pada tahun 1978.
Pemilihan UMNO yang diadakan pada tahun 1987 bagaimanapun menyaksikan parti itu berhadapan krisis kepimpinan terburuk dalam sejarahnya.
Berpunca daripada keputusan bekas Menteri Kewangan, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li mencabar Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan Presiden UMNO pada ketika itu.
Dengan Ku Li akhirnya tewas tipis 43 undi kepada Dr Mahathir, krisis perpecahan terbesar UMNO pada ketika itu berlarutan sehingga menyebabkan parti itu diharamkan oleh mahkamah.
Selepas 32 tahun, UMNO sekali lagi berdepan cabaran proses pemilihan parti tatkala Barisan Nasional (BN) bersiap sedia berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ramai pemerhati politik berpandangan proses pemilihan UMNO kali ini mampu memberi implikasi lebih besar daripada krisis UMNO 1987.
Hal ini mengambil kira parti itu menolak kerjasama dengan, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) selain mungkin juga ditinggalkan Pas.
Dengan beberapa tokoh utama termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terpalit kes mahkamah, pemilihan UMNO kali ini amat penting bagi menentukan hala tuju parti itu.
Hal ini diakui Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Dr Jeniri Amir yang menganggap sudah sampai waktunya UMNO melaksanakan proses pemilihan parti sekiranya diberi kelulusan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS).
Jelas beliau, UMNO sebenarnya sudah tidak ada pilihan dan perlu keluar daripada lingkaran kecelaruan kualiti kepimpinan sekiranya mahu kembali menjadi parti dominan bagi mendepani PRU15.
"Bagi saya, tidak ada alasan mengatakan tiada pemimpin UMNO yang lebih baik daripada barisan kepimpinan sedia ada, apatah lagi sebilangan pemimpin tertinggi parti itu terpalit dengan pelbagai pendakwaan kes di mahkamah.
"Pemimpin dan akar umbi UMNO perlu membuat keazaman politik untuk melakukan pertukaran kepimpinan selepas PRU14, lebih-lebih lagi PRU15 bakal menjadi medan penentu nasib parti itu sama ada terus relevan atau tidak,” katanya.
Sokongan akar umbi
Di sebalik berdepan lebih 70 kes pertuduhan mahkamah, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN dijangka terus mempertahankan jawatan Presiden UMNO yang disandangkan ketika ini susulan masih mendapat sokongan akar umbi.
Namun begitu, beberapa nama tokoh UMNO disebut-sebut mampu berperanan sebagai ‘Hang Jebat’ bagi menyaingi Ahmad Zahid dan diyakini mampu membawa dinamik politik lebih positif kepada parti itu.
"Berdasarkan jawatan parti dan rekod cemerlang ditunjukkan, tokoh paling sesuai membawa UMNO ke hadapan ialah Timbalan Presiden UMNO, Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan).
"Kena ingat beliau pernah jadi pemangku Presiden UMNO sewaktu Ahmad Zahid bercuti enam bulan dan dalam tempoh itu, Tok Mat bukan sahaja dapat menstabilkan kembali parti, bahkan mampu menjayakan gerakan Muafakat Nasional,” ujar Jeniri kepada Sinar Harian.
Jeniri turut menolak dakwaan pengaruh Tok Mat sekadar di peringkat lokal dan bukan nasional, sebaliknya berpandangan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu perlu diberi peluang oleh akar umbi.
Pandangan berbeza dikemukakan seorang tokoh veteran UMNO, Dr Muhammad Khir Toyo yang menjangkakan perebutan bagi jawatan Presiden UMNO bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Ahmad Zahid, Tok Mat dan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Meskipun terdapat beberapa nama lain yang dikaitkan dengan jawatan tertinggi UMNO itu seperti Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan dua lagi naib presiden, namun peluang mereka dilihat tipis.
"Pemimpin UMNO selain Ahmad Zahid, Tok Mat dan Hishammuddin sebaiknya bertandinglah jawatan timbalan atau naib presiden kerana parti tidak boleh menerima terlalu banyak pertandingan bagi jawatan presiden,” ujarnya.
Berdasarkan tiga nama tokoh dikemukakan Muhammad Khir, beliau melihat peluang Hishammuddin untuk menang jawatan Presiden UMNO mungkin sedikit terjejas berbanding Tok Mat dan Ahmad Zahid.
"Hishammuddin ada dua masalah. Yang pertama, akar umbi melihat beliau meninggalkan UMNO ketika UMNO jatuh (PRU14) dan yang kedua, beliau serta beberapa pemimpin UMNO lain termasuk Khairy dikatakan lebih cenderung bersama Bersatu dan PN, sedangkan UMNO menolak kerjasama mereka.
"Dengan sejumlah 147 UMNO bahagian menolak kerjasama dengan Bersatu, peluang Hishammuddin untuk menang jawatan Presiden parti agak tipis, melainkan beliau berjaya memastikan pemilihan 191 UMNO bahagian kelak memihak kepada calon pro beliau,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis politik, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berpendapat peluang Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO untuk menjadi ‘Hang Jebat’ bagi memulihkan kembali parti tidak wajar diketepikan.
Ujarnya, pada saat majoriti kepimpinan UMNO termasuk Tok Mat mengambil langkah berhati-hati dalam merangka strategi politik, Ismail kebelakangan ini dilihat amat lantang dalam menuntut perubahan dalam UMNO.
"Beliau, dengan status pemimpin UMNO berjawatan paling kanan dalam kerajaan, selain mempunyai pengalaman politik luas, saya fikir Ismail Sabri ialah calon terbaik,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca