SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mencadangkan agar sektor ekonomi dari bukan keperluan utama dapat mengurangkan tenaga kerja mengikut kapasiti atau pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) sepenuhnya dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diperkenalkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pemangku Presiden MTUC, Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kluster tempat kerja yang semakin meningkat menjadi satu kebimbangan kepada semua pihak dan arahan BDR daripada kerajaan dapat mengelakkan pergerakan tempat kerja.
"Buat masa ini, tindakan kerajaan untuk mengehadkan 40 peratus pekerja swasta bekerja di rumah sesuai dengan tindakan semasa bagi mempertimbangkan keperluan ekonomi dan masalah kesihatan.
"Oleh itu, kami menyambut baik inisiatif ini namun sekiranya berlaku peningkatan yang agak membimbangkan di sektor ekonomi atau tempat kerja, maka kita minta kerajaan kaji dari masa ke masa.
"Walaupun bekerja di sektor ekonomi, sewajarnya kesemua syarikat perlu mengambil inisiatif untuk mengurangkan jumlah kakitangan pada sesuatu masa,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau juga tidak menafikan bahawa terdapat kekangan dan implikasi kualiti pekerjaan di rumah berbanding di tempat kerja, namun ia bergantung kepada skop pekerjaan tersebut.
”Kita tidak boleh menafikan ada impak terhadap perbezaan bekerja di rumah dengan di pejabat. Dari segi kemudahan yang ada di rumah mungkin terbatas dan tak sama.
"Boleh dikatakan ia boleh menjejaskan sedikit sebanyak kualiti kerja itu bergantung kepada skop pekerjaan masing-masing.
"Oleh itu, kualiti kerja bergantung kepada individu dan kerja yang dibuat. Mereka yang tak terlibat dengan sektor operasi dan di lapangan, lebih sesuai bekerja di rumah,” katanya.
Mohd Effendy berkata, sehingga ke hari ini, MTUC masih menerima aduan mereka yang hilang pekerjaan. Oleh itu, apa yang kerajaan buat mungkin adalah langkah yang terbaik untuk mengimbangi faktor kesihatan dan ekonomi.
Klik di sini untuk terus membaca