TINDAKAN keluar daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sebenarnya tidak perlu dilakukan ahli gabungan kerana PSM memiliki saluran bagi membentuk jawatankuasa baharu badan induk sepak takraw negara itu. Presiden Persatuan Sepak... Klik di sini untuk terus membaca

TINDAKAN keluar daripada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) sebenarnya tidak perlu dilakukan ahli gabungan kerana PSM memiliki saluran bagi membentuk jawatankuasa baharu badan induk sepak takraw negara itu.

Presiden Persatuan Sepak Takraw Melaka, Datuk Akramudin Aziz berkata, saluran itu adalah melalui pemilihan yang kebiasaannya dilakukan setiap tiga tahun sekali.

Malah menurut Akramudin, badan induk tersebut juga masih diiktiraf sebagai persatuan sukan yang sah oleh pihak Pesuruhjaya Sukan (PJS).

"Kenapa perlu keluar daripada PSM? Kerana PSM itu adalah satu entiti yang bergerak ke arah pembangunan sukan sepak takraw itu sendiri.

"Kita mengambil keputusan kekal bersama PSM kerana tahu perjalanannya macam mana dan semua ahli jawatankuasa kita menyokong PSM.

"Oleh itu, kita merayu kepada mereka yang telah keluar daripada PSM untuk kembali bersama kerana kita ada saluran tertentu untuk menaikkan atau menurunkan seseorang melalui saluran demokrasi iaitu pemilihan. Apabila sampai masa nanti kita undilah sesiapa yang kita kehendaki,” katanya pada Rabu.

Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) sebelum ini menggantung sementara PSM daripada terbabit dalam sebarang aktiviti berkaitan sukan itu berkuat kuasa serta-merta atas dakwaan melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan perlembagaan Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF) dan ASTAF seperti dimeterai pada 14 Mac 2008.

Sebelum itu 10 ahli gabungan PSM mengumumkan keluar daripada badan induk itu - Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Johor (PSNJ), Persatuan Sepak Takraw Selangor (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Kedah (Pestak), Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT).

Turut mengikut langkah adalah Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan Putrajaya (Pestap), Persatuan Sepak Takraw Perak Darul Ridzuan (Persedar), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sarawak (PSS), Persatuan Sepak Takraw Negeri Sembilan (Pestans) dan Persatuan Sepak Takraw Negeri Sabah (Astaka).Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) difahamkan yang disingkirkan daripada ahli gabungan PSM pada 2018 turut memberi sokongan kepada penubuhan persatuan baharu.

Dalam pada itu, Akramudin berkata, PSM memiliki tempoh sehingga Jun 2022 bagi mengadakan pemilihan jawatankuasa baharu.

Justeru katanya, ini adalah masa untuk semua ahli gabungan yang telah keluar untuk kembali bersama pada pemilihan berkenaan.

"Kita buat pemilihan baharu tiga tahun sekali. Sepatutnya tahun inilah kita hendak buat tetapi disebabkan pandemik Covid-19 dan sebagainya, ia terpaksa tangguhkan dahulu,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca