SHAH ALAM - Nama Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman bukan sahaja dikenali di Malaysia dan rantau Asia semata-mata, sebaliknya beliau amat dikenali di pentas antarabangsa sebagai seorang saintis terkemuka terutama dalam penyelidikan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Nama Profesor Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman bukan sahaja dikenali di Malaysia dan rantau Asia semata-mata, sebaliknya beliau amat dikenali di pentas antarabangsa sebagai seorang saintis terkemuka terutama dalam penyelidikan berkaitan penyakit berjangkit, HIV dan AIDS.

Anggota Majlis Sains Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu kini menjadi saintis Asia yang pertama dilantik sebagai Presiden Komuniti AIDS Antarabangsa (IAS) untuk dua tahun bermula 11 Julai 2020.

Pada masa sama, beliau merupakan Profesor Adjung di Universiti Yale, Amerika Syarikat dan Pengerusi kepada badan pengumpulan dana bagi program berkaitan penyakit HIV iaitu Yayasan AIDS Malaysia.

Bekas dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM) itu mendalami kepakaran dalam bidang penyakit berjangkit khususnya HIV ketika bertugas di Fairfield Infectious Diseases Hospital, Melbourne, Australia pada 1996.

"Penularan virus HIV di dunia pada ketika itu baharu lapan tahun dengan kebanyakan pesakit ialah generasi muda selain rawatan pula masih lagi baru.

"Faktor inilah menjadi tarikan kuat untuk saya untuk terus mendalami kepakaran dalam bidang ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam masa terdekat, Dr Adeeba akan mengetuai persidangan saintis antarabangsa berkaitan dengan penyakit AIDS yang dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 21 Julai ini.

Persidangan anjuran International AIDS Society (IAS) kali ke-11 itu bakal menghimpunkan antara 5,000 ke 7,000 saintis daripada seluruh dunia yang akan membentang dan membincangkan penemuan dan maklumat terbaharu berkenaan dengan penyakit tersebut.

Antara saintis terkenal yang akan turut bersama dalam persidangan tersebut ialah Canselor Jerman, Angela Merkel yang juga merupakan seorang saintis sebelum menyertai politik dan memimpin Jerman.

Seorang lagi speaker yang akan duduk sebaris dengan Dr Adeeba sebagai pembentang kertas kerja pada persidangan itu nanti ialah Pakar Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci.

Dr Fauci juga adalah penasihat sains dan kesihatan awam kepada Presiden Amerika Syarikat.

Beliau menjadi terkenal apabila sering kali muncul dalam sidang akhbar bersama-sama Presiden Amerika Syarikat untuk menjelaskan tentang wabak Covid-19 tahun lalu.

Seorang lagi speaker ialah Pengarah Eksekutif UNAIDS, Winnie Byanyima dan Ketua Saintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Soumya Swanminathan.

Dari kiri: Angela Merkel, Dr Anthony Fauci, Winnie Byanyima dan Dr Soumya Swanminatha

Sumbangan

Kepada satu soalan, Dr Adeeba menjelaskan, ruang dan pentas yang diberikan kepadanya untuk bercakap di hadapan saintis-saintis dunia dalam persidangan itu membuktikan bahawa saintis dari Malaysia juga mempunyai kebolehan untuk berdiri dan memberikan sumbangan sebaris dengan saintis dari negara maju.

"Sebagai individu yang mempengerusikan secara bersama persidangan tersebut dengan seorang lagi saintis daripada Jerman, mereka akan memperkenalkan saya sebagai wakil daripada Universiti Malaya, Kuala Lumpur, Malaysia,” kata beliau.

Ini juga bukan pertama kali Dr Adeeba akan mempengerusikan persidangan saintifik di peringkat antarabangsa.

Sebelum ini beliau pernah terlibat sama dalam mempengerusikan Persidangan IAS Kali Ke-7 di Kuala Lumpur pada 2013 yang disertai pemenang Anugerah Nobel, Francoise Barre-Sinoussi iaitu saintis yang menemui virus HIV AIDS pada 1983.

"Bagi menjayakan persidangan saintifik dengan jumlah penyertaan yang agak besar itu, saya turut dibantu oleh pasukan sekretariat yang sangat cekap di Geneva,” jelasnya.

Tambah beliau, antara objektif utama yang mahu dicapai dalam penganjuran persidangan itu pada kali ini adalah untuk memastikan kelangsungan usaha-usaha menamatkan penularan penyakit AIDS di seluruh dunia.

"Apa yang kami ingin pastikan ialah, fokus yang sedang diberikan oleh dunia kepada Covid-19, tidak akan menjejaskan usaha dan kajian yang berterusan berkaitan HIV.

"Salah satu sebabnya adalah kerana saintis-saintis dalam bidang Covid-19 juga merupakan saintis daripada bidang HIV kerana ia dalam bidang yang sama iaitu penyakit berjangkit,” ujar beliau.

Mengenai pengalamannya yang panjang dalam bidang ini, Dr Adeeba menjelaskan selepas 15 tahun di luar negara, beliau kembali ke tanah air untuk berbakti dan memulakan tugas di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dengan tumpuan kepada pencegahan wabak penyakit berjangkit seperti HIV, denggi, tibi dan virus baharu.

Pada 1997, Dr Adeeba menubuhkan Unit Penyakit Berjangkit di PPUM manakala di universiti yang sama pada 2008, beliau mengasaskan Pusat Kecemerlangan Kajian AIDS (CERiA).

Beliau antara pakar perubatan terpenting yang melakukan kajian dan mencari rawatan sesuai ketika negara berdepan virus Nipah pada 1999.

Pencapaiannya turut diakui melalui penerimaan anugerah Ilmu Tun Mahathir dan Anugerah Merdeka di atas peranan sebagai Ahli Pasukan Penyiasatan Nipah UM.

Di peringkat antarabangsa, selain daripada menjadi ahli Majlis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), beliau merupakan ahli Panel Pakar Saintifik UNAID mengenai HIV.

Dr Adeeba juga pernah dilantik sebagai penasihat kepada pelbagai jawatankuasa di bawah WHO mengenai penyakit HIV dan AIDS.

Beliau memainkan peranan penting dalam pembentukan dan kegiatan serta inisiatif kerjasama dalam rangkaian penyelidikan HIV serantau iaitu TREAT Asia.

Pada 2012, beliau dinobatkan sebagai penerima pertama Anugerah Global Advance Australia bagi kategori Alumni manakala pada 2015, universiti pengajiannya, Monash University Australia menganugerahkan beliau gelaran Doktor Undang-Undang Kehormat atas sumbangannya dalam bidang perubatan dan kesihatan.

Kejayaan

Mengulas mengenai rahsia di sebalik kejayaannya untuk menjadi saintis bertaraf dunia, beliau berkata, tiada cara lain untuk mencapai kejayaan dalam apa jua bidang selain daripada kerja keras di samping minat yang mendalam terhadap bidang yang diceburi itu.

"Kita mesti berusaha dengan gigih dan kuat. Mesti buktikan yang kita boleh mengendali dan menguruskan projek serta tanggungjawab yang diserahkan kepada kita.

"Jadi yang paling penting adalah komitmen dan bersedia untuk bekerja kuat. Yang kedua, tentunya kita kena memiliki pengetahuan yang terbaik dalam bidang yang kita diceburi.

"Itulah rahsia yang saya boleh kongsikan,” katanya.

Kata Dr Adeeba lagi, pada awal penglibatannya dalam bidang kajian penyakit berjangkit ini, beliau tidak terfikir akan memegang jawatan utama di peringkat antarabangsa seperti yang disandangnya sekarang namun gembira apabila dilantik bagi memikul tanggungjawab itu.

"Jadi yang penting adalah kita mestilah suka dan minat dengan apa yang kita lakukan dan sentiasa beri yang terbaik.

"Adalah sesuatu yang sangat mengujakan apabila kita berada dalam bidang sains yang boleh membawa kepada sesuatu perubahan yang lebih baik kepada masyarakat,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca