ADA ‘kerja rumah’ khusus yang harus disiapkan skuad Harimau Malaya sebelum memulakan kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) minggu depan.
Bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan, Mohd Nidzam Jamil berkata, beberapa aspek perlu diberi perhatian segera oleh Tan Cheng Hoe dan anak-anak buahnya menjelang aksi kelayakan tersebut.
"Bagi saya, pemain-pemain bukan hanya perlu bersiap siaga dari segi mental dan fizikal, tetapi mereka juga harus bersedia berdepan perkara luar jangkaan seperti faktor pengadil, keadaan padang dan juga cuaca pada hari perlawanan.
"Inilah kerja rumah khusus yang perlu dibuat sebelum pasukan kebangsaan memulakan aksi kelayakan itu nanti. Namun, saya percaya coach Tan sudah mengenal pasti beberapa kelemahan dalam pasukannya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Sabtu.
Pada awal pagi Sabtu, Harimau Malaya terpaksa akur tewas 0-2 kepada Bahrain dalam aksi persahabatan yang turut diselubungi insiden kad merah terhadap tonggak utama, Safawi Rasid.
Mujur Safawi disahkan dapat beraksi dalam pertemuan menentang UAE pada 4 Jun ini memandangkan kad merah yang diterima dalam aksi persahabatan tidak akan dibawa ke pusingan kelayakan itu.
Mengenai tindakan emosi beberapa pemain Harimau Malaya dalam perlawanan tersebut, Mohd Nidzam menegaskan perasaan itu merupakan perkara yang biasa dilalui pemain bola sepak profesional.
Menurut Mohd Nidzam, perasan kecewa dengan keputusan pengadil itu perkara normal sebagai seorang pemain profesional tambahan pula selepas mereka sudah memberikan aksi terbaik pada babak pertama perlawanan.
"Perasan kecewa dengan keputusan pengadil itu perkara normal, cuma situasi itu perlulah dielakkan daripada berlaku lagi dalam perlawanan akan datang kerana ia akan merugikan pasukan.
"Jadi perkara ini antara sesuatu yang perlu berada dalam jangkaan pemain. Janganlah kita membandingkan pengadil liga tempatan dengan pengadil luar negara kerana masing-masing pun datang dari latar budaya yang berbeza,” jelasnya.
Bekas pengendali Felda United itu turut menyifatkan objektif yang ingin dicapai Cheng Hoe dalam dua aksi persahabatan termasuk aksi menentang Kuwait minggu lalu telah tercapai.
"Kita jangan lihat pada keputusan perlawanan, sebaliknya kita perlu melihat kemampuan coach Tan untuk menyediakan barisan pemain yang tidak pernah beraksi di peringkat kompetitif lebih setahun.
"Apa pun dalam tempoh kurang seminggu ini, ia masa penting untuk coach Tan menambah baik segala kekurangan yang terdapat dalam dua aksi persahabatan sebelum berdepan UAE nanti,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca